KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti enam lagi kluster baharu COVID-19 pada Jumaat, yang kesemuanya melibatkan tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan berkata, ia sekali gus menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau KKM adalah sebanyak 190 kluster.

Dr Noor Hisham berkata enam kluster baharu yang dikenal pasti pada Jumaat ialah Kluster Sungai Putus, Kluster Erima, Kluster Tapak Bina Jalan Berangan, Kluster Langkasuka, Kluster Jalan College, Kluster Sungai Keluang.

Beliau berkata Kluster Sungai Putus melibatkan daerah Klang di Selangor manakala Kluster Erima pula dilaporkan di daerah Gombak, Selangor.

BACA: COVID-19: Malaysia catat 1,810 kes positif, 6 kematian

BACA: COVID-19: Jumlah kes positif kini melepasi angka 80,000.. ini tumpuan sidang media KKM pada 11 Dis

Selain itu, Kluster Tapak Bina Jalan Berangan melibatkan daerah Lembah Pantai, Titiwangsa dan Kepong di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kluster Langkasuka pula melibatkan daerah Kulai dan Johor Bahru, Johor dan Kluster Jalan College membabitkan daerah Seremban di Negeri Sembilan dan daerah Petaling di Selangor.

Bagi Kluster Sungai Keluang pula, kluster tempat kerja itu melibatkan daerah Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang. 

Berikut perincian lanjut mengenai keenam-enam kluster baharu yang dikenal pasti pada Jumaat (11 Disember 2020):

1. KLUSTER SUNGAI PUTUS

- Kes-kes awal bagi kluster ini dilaporkan positif COVID-19 bermula 9 Disember.

- Sehingga 11 Disember, sejumlah 2,001 individu telah disaring, di mana 427 kes telah dikesan positif COVID- 19.
- Kluster ini melibatkan sembilan warganegara dan 418 bukan warganegara.

2. KLUSTER ERIMA

- Kes indeks iaitu kes ke-73290 dilaporkan positif COVID-19 pada 7 Disember menerusi saringan individu bergejala.

- Susulan itu, majikan melaksanakan saringan ke atas para pekerja dan mendapati seramai 28 lagi individu yang merupakan kontak rapat kepada kes indeks dikesan positif COVID-19.

- Sehingga 11 Disember 2020, sejumlah 83 individu telah disaring, di mana 29 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

3. KLUSTER TAPAK BINA JALAN BERANGAN

- Kes-kes awal bagi kluster ini dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 9 Disember, hasil saringan bersasar di tempat kerja yang melibatkan sebuah tapak binaan.

- Sehingga 11 Disember, sejumlah 1,246 individu telah disaring, di mana enam kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

4. KLUSTER LANGKASUKA

-  Kes indeks iaitu kes ke-71291 dilaporkan positif COVID-19 pada 5 Disember melalui saringan individu bergejala.

- Sehingga 11 Disember, sejumlah 113 individu telah disaring, di mana 14 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

5. KLUSTER JALAN COLLEGE

- Kes indeks iaitu kes ke-68884 dilaporkan positif COVID-19 pada 3 Disember melalui saringan individu bergejala.

- Sehingga 11 Disember, sejumlah 35 individu telah disaring, di mana 11 kes telah dikesan positif COVID- 19 dalam kluster ini.

6. KLUSTER SUNGAI KELUANG

- Kes indeks iaitu kes ke-71197) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 5 Disember melalui saringan pulang ke negara asal.

- Hasil saringan kontak rapat di tempat kerja seterusnya mendapati seramai 16 kes lagi dikesan positif COVID-19.

- Sehingga 11 Disember, sejumlah 99 individu telah disaring, di mana 16 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.