KUALA LUMPUR: Kes kematian sebelum tiba di hospital (BID) akibat COVID-19 dalam negara merekodkan trend peningkatan sebanyak tujuh kali ganda bagi tempoh April hingga Jun 2021.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes BID meningkat kepada 246 pada Jun tahun ini berbanding 35 kes pada April.

Menurutnya, kebanyakan mangsa yang meninggal dunia terdiri daripada pesakit berusia 50 hingga 70 tahun.

Menurut beliau, tiga buah negeri yang merekodkan kes kematian BID tertinggi pada tahun ini ialah Selangor iaitu sebanyak 181 kes, diikuti Kuala Lumpur (78 kes) dan Sabah (85 kes).

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham mengingatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan keadaan kesihatan khususnya sewaktu berada di rumah.

“Ahli keluarga atau rakan serumah dinasihatkan agar prihatin dan peka terhadap keadaan dan kesihatan pesakit COVID-19 dengan memanfaatkan teknologi komunikasi untuk memantau kesihatan pesakit sepanjang pemantauan kuarantin di rumah,” kata beliau dalam kenyataan pada Jumaat.

Antara langkah yang perlu diambil orang ramai, kata Dr Noor Hisham ialah, menjalani pemeriksaan segera sekiranya bergejala atau menjadi kontak kepada kes yang positif selain mengamalkan kuarantin kendiri di rumah dengan penuh tanggungjawab, sementara menunggu keputusan ujian dan panggilan daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC).

Sementara mereka yang didapati positif melalui ujian RT-PCE atau RTK-Antigen pula, jelas beliau, perlu maklumkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) melalui notifikasi kendiri, di aplikasi MySejahtera dan PKD atau CAC berdekatan.