Susulan pandemik COVID-19 yang berterusan, syarikat pengeluar kasut jenama Bata mengumumkan usaha membantu meringankan beban petugas barisan hadapan dan sukarelawan yang terkesan melalui sumbangan 1 juta pasang kasut.

Ketua Pegawai Eksekutif Bata, Alexis Nasard, berkata beberapa buah negara di Eropah, Amerika Latin, Afrika, Asia-Pasifik serta India bakal menerima sumbangan tersebut.

“Ketika waktu sukar sebegini, Bata komited dalam menyalurkan apa sahaja bantuan bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pekerja dan pengguna kami.

“Dengan sumbangan kasut ini, kami berharap ia dapat memberi semangat kepada mereka khususnya petugas barisan hadapan untuk terus membantu mereka yang memerlukan,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau berkata, sejak penularan wabak melanda lagi, Bata, menerusi inisiatif ‘Bata Heroes’, bertindak memberi bantuan dengan bekerjasama dengan rakan kebajikan, kerajaan serta pertubuhan pertubuhan bagi membantu beberapa buah negara termasuk India, Bangladesh, Pakistan dan Malaysia.

“Melalui Program Kanak-Kanak bersama Bata dan Yayasan Kasut Bata, kami juga menghasilkan dan menyumbang topeng muka, pelindung muka serta peralatan perlindungan diri (PPE) kepada petugas kesihatan selain pelbagai bentuk dana lain,” katanya lagi.