Syarikat aeroangkasa Eropah itu berkata, permintaan ini mewakili 46 peratus daripada keperluan global, yang dijangka mencecah sekitar 42,430 pesawat baharu pada 2043.
"Unjuran bagi Asia Pasifik itu merangkumi China dan India yang mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 3.0 peratus dari segi keperluan terhadap pesawat baharu.
"Dengan lonjakan permintaan ini, kumpulan peasawat rantau ini akan terus berkembang, didorong oleh pertumbuhan baharu serta keperluan penggantian, dengan inisiatif kemampanan menjadi keutamaan," kata Airbus dalam satu kenyataan pada Rabu.
Airbus menjangkakan hampir 71 peratus daripada pesawat yang dihantar akan menyokong pertumbuhan kumpulan pesawatnya, manakala 29 peratus lagi akan menggantikan model lama, yang sekali gus menyumbang kepada usaha penyahkarbonan.
"Dalam segmen kargo pula, rantau Asia-Pasifik dijangka memerlukan sebanyak 250 pesawat pengangkut berbadan lebar, yang mewakili sekitar 10 peratus daripada permintaan global untuk pesawat pengangkut baharu," katanya.
Manakala dari segi aliran trafik penumpang, rantau Asia-Pasifik diunjur mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan 4.8 peratus mengatasi kadar pertumbuhan global sebanyak 3.6 peratus.
Menurut Airbus, sebagai salah satu pasaran penerbangan yang paling pesat berkembang di seluruh dunia, rantau Asia-Pasifik kini bersedia untuk mencatat kadar pertumbuhan signifikan menjelang tempoh dua dekad akan datang.
Presiden Airbus Asia Pasifik Anand Stanley membentangkan laporan unjuran berkenaan ketika Perhimpunan Tahunan Presiden Penerbangan Asia-Pasifik (AAPA) yang sedang berlangsung di Bandar Seri Begawan, Brunei.
Perhimpunan itu adalah acara tahunan yang dihadiri pemimpin syarikat penerbangan serantau.
-- BERNAMA