KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,083 kes baharu COVID-19 direkodkan pada Sabtu, menunjukkan sedikit penurunan berbanding 4,362 kes pada Jumaat.

Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu, angka terbaharu itu  menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini sebanyak 2,715,847 kes setakat ini.

"Daripada angka terbaharu itu, 98.3 peratus kes adalah melibatkan kategori 1 dan 2 manakala 1.7 peratus atau 69 kes pula melibatkan kategori 3,4 dan 5," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham memaklumkan 391 pesakit termasuk 77 pesakit yang disyaki kemungkinan COVID-19 positif ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 215 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Tambah beliau, tiga lagi kluster baharu dikesan, menjadikan keseluruhan  252 kluster aktif direkodkan setakat ini.

Sementara itu, menurut data di laman sesawang COVIDNOW, 18 kematian dilaporkan setakat tengah malam Jumaat, menjadikan jumlah kematian terkini mencecah 31,044 kes.

Daripada angka kematian baharu, satu melibatkan kes kematian di luar hospital atau brought-in-death (BID). Sebanyak 6,275 kes BID dilaporkan sehingga Jumaat.