KUALA LUMPUR: Jumlah kes positif harian COVID-19 negara menunjukkan sedikit penurunan apabila sebanyak 22,535 kes dilaporkan semalam.

Daripada jumlah itu, 22,174 kes melibatkan jangkitan tempatan, manakala 361 adalah kes import.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, 22,350 kes (99.18 peratus) adalah kategori satu dan dua manakala 185 kes (0.82 peratus) adalah kategori 3,4 dan 5.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti wabak berkenaan meningkat kepada 3,823,571.

Sebanyak 384 kes dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dengan 222 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah kes sembuh pula adalah 25,356 kes.

Semalam juga, enam lagi kluster baharu direkodkan, dengan 389 kluster masih aktif.

Sementara itu, nilai kadar kebolehjangkitan (R-naught atau R0) COVID-19 di seluruh negara ketika ini adalah 0.97, dengan Sarawak mencatatkan bacaan tertinggi pada 1.26.

Ia diikuti Kuala Lumpur dan Terengganu dengan 1.12.