KUALA LUMPUR: Sebanyak 13,754 kes positif baharu dilaporkan pada Khamis menjadikan kes kumulatif adalah sebanyak 2,156,678 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Selangor kekal merekodkan kes harian tertinggi dengan 1,985 kes.

Ia diikuti Johor 1,913 kes, Sabah (1,629), Sarawak (1,766), Kelantan (1,264) dan Pulau Pinang (1,052).

Manakala Pahang 869 kes, Perak (844), Terengganu (664), Kedah (783), Kuala Lumpur (383), Melaka (292), Negeri Sembilan (175), Perlis (113), Putrajaya (14) dan Labuan (8).

"Beberapa negeri melaporkan kes positif tiga angka termasuk Pahang dengan 869 kes diikuti Perak (844), Terengganu (644) Kedah (783) Kuala Lumpur (383), Melaka (292) ,Negeri Sembilan (175) dan Perlis meningkat dari 97 sehari sebelumnya kepada 113 kes.

"Dua negeri melaporkan kes dua angka melibatkan Putrajaya dengan 14 kes dan Labuan (8)," katanya.

Dr Noor Hisham juga melaporkan sebanyak 16,628 kes sembuh menjadikan jumlah keseluruhan sembuh terkini ialah 1,933,716 kes atau 89.7 peratus.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kadar kematian setakat semalam mencatatkan sebanyak 487 kes menjadikan angka kumulatifnya sebanyak 24,565 kes.

Manakala, kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula adalah sebanyak 1,107 dengan 613 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

"KKM juga mengesan 15 kluster baharu di mana lapan darinya merupakan Kluster Komuniti dan selebihnya adalah kluster tempat kerja," katanya lagi.

Sementara itu, seramai 18,964,474 individu atau 81% daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.

Menerusi laman web COVIDNOW, KKM memaklumkan setakat Rabu sebanyak 93.3% atau 21,847,551 individu daripada populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

KKM juga berkata setakat ini sebanyak 41,247,271 dos sudah diberi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan pada 24 Februari.