GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang hari ini menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C bersama empat kru kerana menangkap ikan di luar kawasan yang dibenarkan di perairan negeri itu.

Pengarahnya Kapten Razali Kasim berkata bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan terus ke lokasi di kedudukan 0.9 batu nautika tenggara Batu Maung dekat sini selepas menerima aduan mengenai kegiatan pencerobohan zon perikanan.

"Kami membuat pemeriksaan di atas bot itu pada 2 petang dan mendapati terdapat empat nelayan tempatan berusia 42 hingga 64 tahun melakukan kegiatan menangkap ikan di luar kawasan yang dibenarkan.

"Kesemua nelayan ditahan manakala bot bersama hasil tangkapan dianggarkan 500 kilogram ikan baja dirampas untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen," menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata mereka turut disiasat mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 iaitu menggunakan peralatan komunikasi yang tidak dibenarkan tanpa sebarang surat kebenaran bagi penggunaannya.

-- BERNAMA