SEMPORNA: Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) siap siaga dan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengekang sebarang elemen luar daripada mengambil kesempatan terutama sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlangsung.

Ketua Staf Markas ATB 2 Kolonel Wan Amir Zaki Wan Hassan berkata ATB 2 menjalankan operasi sedia ada bagi memastikan sempadan perairan negara tidak diceroboh.

"Selain kerjasama operasi di bawah koordinasi Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCom), kami juga bekerjasama dengan Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau dalam menangani jenayah rentas sempadan," katanya kepada pemberita pada program Hari Bersama Media di Pulau Pandanan di sini malam tadi.

Program sehari itu disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz dan pelbagai aktiviti diadakan antaranya pertandingan memasak ransum tempur.

Wan Amir Zaki dalam pada itu berkata ATB 2 juga berjaya menggagalkan beberapa siri jenayah rentas sempadan termasuk cubaan pendatang haram menyusup ke perairan Sabah dan cubaan menyeludup minyak petrol termasuk rokok.

Selain itu, beliau berharap bilangan keanggotaan di markas ATB 2 serta aset kenderaan dapat ditambah bagi memastikan tugasan operasi dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Sementara itu, Muez berkata Kementerian Pertahanan akan melihat keperluan aset sedia ada khususnya dari segi persenjataan serta mempertingkat kemudahan seperti perumahan dan kem di Sabah.

"Dalam perancangan akan bina kem dan perumahan baharu untuk tentera darat Kem 5 Briged Kota Belud dan juga Kem 13 Briged Lahad Datu ini untuk kemudahan lebih selesa," katanya lagi.

Mengenai program Hari Bersama Media, beliau berkata pihaknya sentiasa memerlukan sokongan dan kerjasama pihak media untuk menyalurkan maklumat tepat yang dapat membentuk persepsi positif serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keupayaan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertahankan kedaulatan negara.

"Matlamat program ini adalah sebagai menghargai jasa dan sumbangan pihak media yang membantu menaikkan imej Kementerian Pertahanan dan ATM melalui pelaporan berita yang positif, sebanyak 29,202 pelaporan direkodkan bagi tempoh Januari 2022 hingga Ogos ini," katanya lagi.

Di samping itu, Muez berkata ATM di sini tidak tertumpu melaksanakan operasi keselamatan sahaja sebaliknya turut melakukan khidmat sosial termasuk menanam pokok serta membantu pelancong.

Tinjauan Bernama turut mendapati di Pos Pulau Pandanan, anggota tentera turut membantu pihak World Wide Fund (WWF) serta Taman Taman Sabah berkaitan pemuliharaan penyu dengan mengutip telur penyu dan melepaskan anak penyu ke laut iaitu 136 ekor anak penyu dilepaskan dalam tempoh seminggu ini.

-- BERNAMA