KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan cadangan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengenai elaun penjagaan kanak-kanak sejagat memerlukan penelitian yang rapi.


Ringkasan AI
  • Cadangan Elaun Penjagaan Kanak-Kanak Sejagat: UNICEF menggesa pengenalan elaun penjagaan kanak-kanak sejagat buat ibu di Malaysia. Cadangan ini mencadangkan elaun bulanan RM200 bagi ibu mulai mengandung sehingga anaknya berusia dua tahun. Tujuan adalah untuk memberikan sokongan kewangan pada 1,000 hari pertama yang kritikal dalam kehidupan kanak-kanak.
  • Skim Bantuan Kanak-Kanak (BKK): Kerajaan telah melaksanakan BKK secara bersasar untuk keluarga di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK). Kadar bantuan bulanan BKK bagi kanak-kanak berusia bawah tujuh tahun adalah RM200, manakala kanak-kanak tujuh tahun ke atas menerima RM150. Kadar bantuan maksimum kanak-kanak juga dinaikkan daripada RM450 sekeluarga kepada RM1,000 sekeluarga.
  • Perbelanjaan Kebajikan: Kerajaan telah membelanjakan RM893 juta kepada lebih 540,000 penerima bantuan kebajikan. Daripada jumlah tersebut, RM103 juta diperuntukan kepada kanak-kanak yang memerlukan.


Timbalan Menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, pertimbangan tersebut wajar dilakukan dengan mengambil kira kesesuaian kedudukan fiskal kerajaan.

"Walau bagaimanapun kerajaan menyambut cadangan ini dan akan terus meneliti kesesuaian pelaksanaannya seiring dengan program sedia ada," katanya pada sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang meminta menyatakan adakah kerajaan akan melaksanakan cadangan UNICEF tentang elaun penjagaan kanak-kanak sejagat bagi menyokong perkembangan golongan itu.

Media pada 8 Mei lalu melaporkan UNICEF menggesa pengenalan elaun penjagaan kanak-kanak sejagat buat ibu, untuk meningkatkan perluasan langkah perlindungan sosial bagi kanak-kanak di Malaysia.

Memetik Ketua Penyelidik DM Analytics, Muhammed Abdul Khalid sebagai berkata, beliau mencadangkan agar elaun bulanan sebanyak RM200 bagi ibu, bermula dari ibu mengandung sehingga anaknya berusia dua tahun.

Mengulas lanjut, Noraini (BN-Parit Sulong) berkata kerajaan telah melaksanakan skim Bantuan Kanak-Kanak (BKK)  secara bersasar bagi memastikan keluarga di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) mendapat perlindungan sosial yang sewajarnya.

Jelas beliau, sebanyak RM318,285,884 BKK telah diagihkan kepada seramai 62,066 kes penerima kanak-kanak pada tahun 2023.

"Semasa pengumuman Belanjawan 2021, kerajaan telah menaikan kadar bantuan bulanan skim BKK bagi kanak-kanak berusia bawah tujuh tahun yang layak sebanyak RM200 seorang, manakala kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas pula menerima bantuan sebanyak RM150 seorang.

"Untuk pertama kali juga kadar bantuan maksimum kanak-kanak dinaikkan daripada RM450 sekeluarga kepada RM1,000 sekeluarga," tambah Noraini.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat April lalu, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM893 juta kepada lebih 540,000 penerima bantuan kebajikan.

Daripada jumlah tersebut, katanya sebanyak RM103 juta diperuntukan kepada kanak-kanak yang memerlukan.