KUCHING: Pembinaan pusat pemindahan kekal (PPK) terutamanya di kawasan berisiko banjir merupakan langkah proaktif kerajaan dalam menghadapi bencana, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata banjir merupakan bencana yang berulang saban tahun dan masalah mungkin timbul untuk menempatkan mangsa yang dipindahkan sekiranya kejadian itu berlaku ketika sesi persekolahan.

"Di Sarawak kita sudah ada satu PPK iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Beradek di sini, kita tidak menghadapi apa-apa masalah, tempat itu memang sudah boleh digunakan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Uggah juga mencadangkan kawasan Batu Kawa di sini dipertimbangkan sebagai lokasi PPK dengan kapasiti sehingga 500 mangsa memandangkan kawasan berkenaan kerap dilanda banjir.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata kerajaan sedang berusaha menyediakan satu PPK di setiap negeri berisiko banjir bagi mengurangkan kesan kerosakan kepada sekolah-sekolah yang digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) ketika banjir.

Terdahulu Uggah berkata JPBN Sarawak kini bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dengan kekuatan 7,506 anggota serta aset yang mencukupi.

"Antara aset yang disediakan ialah 214 buah bot, tiga buah ski jet, 263 kenderaan pacuan empat roda, 78 lori, 32 ambulans, 153 motosikal, dua bas, empat helikopter dan 15 dron.

"Kita juga bekerjasama dengan radio MHO, yang beroperasi di kawasan pedalaman yang tiada capaian telefon untuk menyampaikan maklumat seperti laporan amaran banjir dan koordinasi bantuan," katanya.

Jelas Uggah, radio MHO merupakan sistem komunikasi radio yang digunakan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), berfungsi sebagai saluran komunikasi alternatif khususnya di kawasan pedalaman atau bencana.


-- BERNAMA