GEORGE TOWN: Polis mengesahkan kematian dua beranak Siti Zulaila Zulkifli, 30,dan bapanya Zulkifli Ibrahim, 62, dalam kejadian di pangsapuri Bandar Baru, Ayer Itam berpunca akibat luka tikaman pada dada dan perut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) semalam mendapati terdapat kecederaan akibat tikaman dengan benda tajam pada mangsa.

"Bedah siasat mendapati punca kematian mangsa wanita adalah disebabkan luka tikaman pada dada dan perut manakala bapanya mengalami luka akibat ditikam pada dada.

"Proses bedah siasat selesai kira-kira jam 6 petang semalam dan jenazah kedua-dua beranak  dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan malam tadi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Lelaki tikam dua beranak hingga maut direman tujuh hari

BACA: “Arwah, isteri saya yang sah” - Suami mangsa tikam

Dalam pada itu, katanya lagi, polis memberi jaminan bahawa  siasatan berhubung kes berkenaan akan dijalankan secara telus dan adil.

"Keadaan suspek stabil dan kita percaya siasatan   tidak mengambil masa yang lama," katanya.

Difahamkan terdapat enam kesan tikaman pada tubuh mangsa termasuk terkena pada bahagian jantung yang menjadi punca kematian mangsa.

Dalam kejadian tengahari Khamis, Siti Zulaila  dan bapanya Zulkifli maut ditikam dengan pisau oleh seorang lelaki dipangsapuri berkenaan.

Difahamkan, mangsa baru pulang dari tempat kerja ditikam suspek yang kemudian turut menikam bapa mangsa yang cuba meleraikan pertengkaran antara  mereka.

Suspek kemudian bertindak mengelar dan menikam dirinya beberapa kali sebelum dia dikejarkan ke HPP untuk rawatan lanjut.

Suspek direman selama tujuh  hari hingga 14 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jenazah dua beranak itu selamat dikebumilan bersama dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kariah Tanjong Tokong selepas solat Isyak kira- kira jam 10 malam Jumaat.