KUALA LUMPUR: Umum mengetahui, sebaik bulan Oktober menjelang, sudah menjadi kelaziman bagi program Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) dilaksanakan bagi memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari, acara yang dinaungi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu antara lain bertujuan untuk mempersegar kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

"Selain itu, BBK bertujuan menyerlahkan fungsi dan peranan bahasa serta sastera kebangsaan sebagai salah satu tonggak pembinaan tamadun bangsa dan negara.

"Bulan Bahasa Kebangsaan juga merupakan formula atau strategi berkesan untuk jangka panjang kepada pemerkasaan bahasa kebangsaan di negara ini.

"Pada tahun ini, dengan tema “Bahasa Jiwa Bangsa” dan subtema “Sayangi Bahasa, Sayangi Negara”, majlis ini disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, pada 6 Oktober 2024 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), Perak," ujarnya.

Perak dipilih sebagai lokasi pelaksanaan program itu kerana melahirkan ramai cendekiawan dan pencinta bahasa sejak zaman sebelum merdeka.

Program BBK antara lain, mempersegar kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

"Ini memberikan manifestasi kepada pelaksanaan program ini keseluruhannya kerana citra bahasa Melayu itu dibitarakan dengan cukup cemerlang daripada institusi pendidikan yang wujud di negeri ini.

"Antara institusi yang cukup sinonim melahirkan pejuang-pejuang kemerdekaan dan bahasa antaranya Maktab Perguruan Sultan Idris atau SITC (Sultan Idris Training College) dan Kolej Melayu Kuala Kangsar," katanya lagi.

Dua inisiatif tahunan, iaitu Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) dan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) yang dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka bermatlamat untuk memperkasakan perancangan dan pemupukan bahasa Melayu tinggi bagi membentuk tamadun bangsa Malaysia yang berbudaya dan berakhlak mulia dan melahirkan negara pembaca menjelang tahun 2030.