TAWAU: Seorang kanak-kanak lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran melibatkan 38 rumah di Kampung Jati Batu 5, di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah malam itu, kebakaran yang bermula dari salah sebuah rumah telah merebak dan menyebabkan seorang kanak-kanak maut akibat terperangkap.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.55 tengah malam.

Menurutnya, seramai 27 anggotanya dibantu enam Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Titingan dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 10 kilometer dari BBP Tawau.

"Kebakaran melibatkan 38 rumah jenis tidak kekal dengan keluasan 0.6 hektar telah terbakar 100 peratus.

"Hasil pemeriksaan terdapat seorang mangsa ditemui rentung pada jam 4.50 pagi dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, operasi memadam kebakaran dilakukan dengan menggunakan sumber air dari tangki jentera dan air terbuka.

"Operasi terkawal pada jam 2.28 pagi dan ditamatkan pada jam 5.59 pagi selepas anggota memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian," katanya. - Sinar Harian