ALOR SETAR: Dua mangsa ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Tongkang Yard, di sini pagi ini.

Sementara, seorang lagi mangsa yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian masih belum ditemui.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Azhar Mohamad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada pukul 6.51 pagi tadi.

"Sebaik tiba di lokasi didapati berlaku kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas A atau jenis kekal.

"Tindakan operasi pemadaman dilakukan dan api berjaya dibendung pada pukul 7.11 pagi tadi dan dimaklumkan terdapat tiga mangsa disyaki terlibat," katanya, di sini, hari ini.

Kata beliau, dua mangsa ditemukan rentung di dalam rumah dan operasi pemadaman masih berlangsung.

"Proses pemadaman lanjut sedang dilakukan untuk memastikan kedudukan seorang lagi mangsa," ujarnya.