KOTA KINABALU: Dua rentung selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Kapayan, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, awal pagi ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, identiti kedua-dua mangsa yang menaiki kereta Perodua Axia tersebut belum diketahui setakat ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, seramai lima anggotanya bersama lima lagi anggota BBP Putatan dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

"Menurut komander operasi, kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Axia telah terbakar 100 peratus yang berpunca daripada kemalangan jalan raya melibatkan dua lagi kenderaan lain iaitu jenis Perodua Viva dan Toyota Vigo.

"Operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan dan hasil pemeriksaan terdapat dua mangsa rentung di dalam Perodua Axia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Selain dua mangsa rentung tersebut, terdapat dua lagi mangsa lain mengalami kecederaan ringan iaitu lelaki berusia 22 tahun menaiki kenderaan pacuan empat roda dan lelaki berusia 34 tahun menaiki Perodua Viva.

"Operasi kemudian ditamatkan pada jam 4.40 pagi selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian," katanya. - Sinar Harian