Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai DSP Kamarulzaman Harun berkata pihaknya menggunakan beberapa peralatan khas termasuk pancutan air (water jet) untuk membersihkan lumpur setebal 0.2 meter di luar dan dalam masjid.
"Air mula naik di Masjid Chenulang selepas hujan lebat dan pada 4 pagi semalam hujan berterusan sehingga menyebabkan banjir sedalam lebih satu meter dan mulai surut pada 5.30 petang.
"Bagaimanapun, pagi ini air surut sepenuhnya dan kami mengadakan gotong-royong di tingkat bawah masjid bagi membolehkan jemaah bersolat Jumaat dengan lebih selesa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Chenulang di sini hari ini.
Beliau berkata gotong-royong itu melibatkan 16 anggota dan pegawai bomba serta polis yang berganding bahu untuk komuniti setempat
Kamarulzaman berkata masjid berkenaan digunakan penduduk dari lima kampung berhampiran iaitu Kampung Chenulang, Kampung Limau Madu, Kampung Dusun Bang, Kampung Pasir Jering dan Kampung Kebun Pisang.
"Masjid ini boleh memuatkan 700 jemaah dalam satu-satu masa dan biasanya tingkat atas digunakan pada musim tengkujuh," katanya.
-- BERNAMA