Menteri di Jabatan Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kakus Datuk Seri John Sikie Tayai berkata misi penghantaran makanan itu telah dilaksanakan menerusi pengangkutan air dan udara.
Beliau berkata inisiatif pelbagai agensi telah digerakkan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tatau.
"Inisiatif ini kita laksanakan untuk kawasan luar bandar yang terputus hubungan melalui jalan darat akibat banjir.
"Kita sudah laksanakan penghantaran ke kawasan Penyarai dan Nanga Tau... makanan yang dihantar ini terdiri daripada makanan kering seperti beras, sardin dalam tin dan mi kepada lebih 1,000 keluarga," katanya kepada Bernama hari ini.
Mengenai situasi terkini banjir di Tatau, Sikie berkata secara umumnya keadaan kini semakin pulih dengan jumlah mangsa mencatatkan trend penurunan.
"Kita nampak ada penurunan, walaupun begitu di PPS (pusat pemindahan sementara) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tatau sekarang ini kita ada lebih 700 mangsa," katanya.
Setakat petang ini, satu-satunya PPS di Tatau iaitu di SMK Tatau yang dibuka pada 29 Jan lepas menempatkan 707 orang daripada 215 keluarga.
-- BERNAMA