NARATHIWAT, THAILAND: Mahkamah Narathiwat di sini menjadi tumpuan seluruh rakyat Malaysia apabila nasib penyanyi 'Bea Sobar Bea' Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, suami serta empat rakannya akan diputuskan pada Khamis.

Ia melibatkan pertuduhan memiliki 6,059 pil kuda semasa ditahan dalam serbuan di sebuah hotel dekat Golok, di sini pada 1 November tahun lalu.

Selain Eda Ezrin, suami (Mohd Affendi Ahmad, 35), Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, Erdieka Mohd Noor, 33, serta Zuhaira Nasrin, 26, turut berdepan pertuduhan memiliki pil kuda tersebut.

Hakim menetapkan tarikh keputusan kes itu pada 6 Mac (Khamis) selepas selesai mendengar keterangan dan saksi pendakwaan semasa perbicaraan berlangsung pada 11, 13 dan 14 Februari lalu.

Pada 14 Januari lalu, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki pil berkenaan semasa pertuduhan dibacakan oleh Hakim Mahkamah Wilayah Narathiwat.

Bagaimanapun, Eda Ezrin, suami dan rakan-rakannya yang lain mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah.

Dua rakan Eda Ezrin iaitu Erdieka dan Zuhaira mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah untuk berada di negara ini.

Kesemua mereka diwakili tiga peguam bagi mengendalikan kes tersebut.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Eda Ezrin percaya dia akan dibebaskan dari Penjara Wilayah Narathiwat tidak lama lagi.

Ibu kepada dua anak itu memberitahu, dia meletakkan keyakinan 90 peratus keputusan pada 6 Mac ini akan berpihak kepadanya.

Pada 1 November lalu, penyanyi wanita popular di negeri ini antara enam individu yang dipercayai ditahan Polis Thailand dalam serbuan di sebuah hotel di Golok, Thailand.

Penahanan penyanyi berusia 20-an bersama lima lagi individu itu bagi membantu siasatan berkait rampasan 6,000 biji dadah dipercayai pil kuda. - Sinar Harian