Pekerja binaan yang dikenali sebagai Gembong Bilong itu, dipercayai mengalami kemalangan semasa bekerja di salah satu tapak pembinaan dan jarinya mengalami kecederaan dan bengkak teruk akibat insiden itu.
Gembong Bilong dipercayai mengalami kemalangan di tempat kerja sebelum dikejarkan ke hospital - Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Suna Kaha ketika dihubungi Astro AWANI berkata pemuda berusia 22 tahun itu telah dikejarkan ke Hospital Sarikei akibat kecederaan tersebut, namun, pihak hospital yang cuba untuk menjalankan rawatan kecemasan, tidak dapat mengeluarkan cincin keluli dari jari tengahnya.
“Pihak kami telah menerima panggilan dari wad kecemasan Hospital Sarikei mengenai masalah terbabit sekitar jam 4.36 petang kelmarin.
Pasukan bomba terpaksa mengambil masa 20 minit untuk memotong cincin yang tersekat - Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat
“Kami mengambil masa lebih kurang 20 minit mengeluarkan cincin itu dengan menggunakan gergaji besi untuk memotong cincin terbabit,” katanya.
Katanya, Gembong menerima rawatan selanjutnya dari Hospital Sarikei setelah cincin berjaya dikeluarkan.
Pihak Bomba turut memuat naik gambar-gambar usaha menyelamat menerusi media sosial petang semalam.