KUALA LUMPUR: Masanya belum sesuai untuk menaikkan gaji minimum pada kadar tinggi ketika negara masih lagi bergelut untuk memulihkan ekonomi.

Bagaimanapun kata penganalisis ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, tidak bermakna ia tidak boleh dinaikkan tetapi perlu dilakukan secara berperingkat.

Menjelaskan tentang gaji minimum, katanya ia adalah cerminan kepada tahap ekonomi sesebuah negara dan pada ketika ini Malaysia sedang dalam proses pemulihan daripada impak pandemik dan bencana banjir baru-baru ini.

“Gaji minimum ni dikaitkan dengan produktiviti, di Malaysia ini misalnya 5.7 milion pekerja mendapat gaji berasaskan kepada produktiviti mereka daripada jumlah kumpulan pekerja yang ada.

“Jadi kita melihat bahawa pada tahun 2021 kadar produktiviti menurun 5.5 peratus kepada hnya 89,000 dari segi nilai tambah. Ini menjadi satu persoalan mengapa kita melaksanakan kenaikan gaji minimum di tengah-tengah keadaan apabila kadar produktiviti menurun.”

BACA: Gaji minimum RM1,500: Bukan hanya pekerja, komuniti setempat juga akan terima kesan positif 

BACA: Kenaikan gaji minimum setiap dua tahun cerminkan realiti ekonomi semasa - IDEAS

Justeru beliau mencadangkan supaya kerajaan mengadakan pertemuan dengan majikan serta persatuan pekerja untuk membincangkan kadar yang sesuai untuk ditetapkan peningkatan setiap tahun sehingga ia mencapai paras yang disasarkan.

“Mungkin tahun ini kita patut naikkan sedikit, kalau kita lihat di Kemboja, Laos dan Thailand, mereka naik satu peratus setahun.

“Kita naikkan mungkin dalam lima peratus, jadi dari RM1,100 kita naik ke RM1,250 atau RM1,300 maksimum. Kemudian kita tingkatkan lagi satu peratus selepas setahun, kita matlamatkan dalam masa tiga tahun kita akan capai RM1,500.”

TONTON Niaga AWANI: Gaji minimum RM1,500, mengapa kita belum bersedia? 

BACA: Kenaikan gaji minimum: Nik Nazmi persoal tindakan MEF

Barjoyai yakin ia dapat dilakukan, melihat kepada kejayaan kita mengendalikan ekonomi dengan baik pada 2021 walaupun bergelut dengan keadaan wabak yang serius ketika itu.

“Walaupun suku kedua tahun ekonomi menurun dengan teruk tapi kita masih berjaya mendapat 3.3 peratus keseluruhan pada 2021 dalam pertumbuhan ekonomi.”

Tonton temu bual penuh bersama beliau dalam Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar, di sini:

Boleh naik gaji minimum, tapi secara berperingkat - Dr. Barjoyai

Agenda AWANI: Isu gaji minimum