Polis minta semua pihak mencari satu keputusan berkompromi berikutan kebuntuan antara Pakatan Rakyat dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini atas tempat perhimpunan 'Blackout505’ minggu depan.

Dalam mesyuarat pagi ini, pemimpin Pakatan Rakyat terus berdegil hendak menggunakan Padang Merbok pada 22 Jun depan. Bagaiamapun, DBKL berkata tempat tersebut tidak dapat digunakan pada hari itu.

"Saya harap kita semua boleh berkompromi dan isu ini boleh diselesaikan dengan tenang," Ketua Polis KL DCP Datuk Mohmad Salleh memberitahu Astro Awani hari ini.

Mohmad berkata polis tidak akan mengambil apa-apa tindakan pada masa ini, termasuk membuat sebarang tangkapan sebelum perhimpunan itu.

"Sekarang mereka masih berunding dan berbincang, jadi kita akan tunggu dan lihat apa yang akan diputuskan selepas ini," katanya.

Pagi tadi, wakil-wakil Pakatan telah bertemu dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Phesal Talib. Beliau telah menjelaskan bahawa Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan menggunakan Padang Merbok untuk menganjurkan larian amal pada 23 Jun.

Beliau berkata ia bukan di Dataran Merdeka seperti yang didakwa oleh pembangkang.

Manakala, pengarah strategik PKR Rafizi Ramli terus mendakwa bahawa Datuk Bandar telah berbohong tentang perkara itu untuk menggunakannya sebagai alasan untuk menolak permohonan perhimpunan tersebut.

Selain daripada Rafizi, wakil PKR, Datuk Johari Abdul dan DAP, Fong Kui Lun, juga menghadiri pertemuan dengan Ahmad Phesal.

Awal minggu ini, Ahmad Phesal telah memberi tiga sebab untuk menolak:

- Untuk memberi ruang kepada MOM untuk menyediakan tempat tersebut

- Untuk memelihara landskap dan hiasan di sepanjang Jalan Parlimen

- Untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas besar-besaran di bandar

Ahmad Phesal juga dilaporkan berkata DBKL sedia memberi tempat-tempat alternatif.

"Malah pihak polis juga tidak mempunyai masalah dengan perhimpunan mereka, tetapi kami bercadang untuk mereka mengadakannya di tempat seperti Stadium Merdeka atau Stadium Titiwangsa, "Ahmad Phesal dipetik berkata kepada portal berita FreeMalaysiaToday.

Pembangkang telah menganjurkan beberapa perhimpunan awam besar-besaran di seluruh negara bagi memprotes dakwaan penipuan pilihan raya sejak 5 Mei.