KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya Malaysia perlu membina kekuatan dalaman yang mengajar erti perpaduan, komitmen dan iltizam dalam perjuangan membela nasib rakyat Palestin.

Perdana Menteri berkata, kekejaman dilakukan zionis Israel terhadap kemusnahan, pembunuhan kanak-kanak dan wanita perlu dihentikan dan negara berusaha sedaya-upaya membetulkan naratif serta memberi kesedaran meluas kepada dunia mengenai aspirasi rakyat Palestin.

"Saya mulakan dengan pengajaran daripada pengalaman tokoh hebat dunia Islam Salahuddin al-Ayyubi, kita harus prihatinkan membina kekuatan dalaman, pencerahan dan kefahaman Islam, kebijaksanaan memupuk semangat persaudaraan dan ukhwah, membenam perbezaan-perbezaan kecil serta meluruskan prinsip asas kita.

"Iaitu membina kekuatan akidah, akhlak dalam peribadi, keluarga, masyarakat dan negara kerana itu kita rangkakan konsep falsafah Malaysia MADANI yang kita masukkan apa yang dianggap 'tempang' dalam pemahaman tentang pembangunan.

"Ini termasuk soal nilai, akhlak, manusiawi, kemanusiaan dan karamah insaniah itu yang kita pentingkan kerana dengan kekuatan itu saja kita boleh bantu," katanya dalam ucapan merasmikan Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin sempena Sambutan Hari Masjid Sedunia 2024 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Muktamar tersebut turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan timbalannya, Dr Zulkifli Hasan serta Pengerusi Bersama Penganjuran Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin Datuk Seri Ahmad Awang.

Kira-kira 1,000 wakil masjid dan NGO, duta-duta dari perwakilan asing, para ulama serta pemerhati dari beberapa negara hadir dalam muktamar tersebut anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama beberapa pihak lain iaitu Aliansi Masjid Sedunia Mempertahankan Al Aqsa dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia.

Dalam masa sama, Perdana Menteri mengulangi pendirian negara sejak merdeka 1957 bahawa Malaysia akan terus menyokong perjuangan rakyat Palestin.

"Saya berulang kali menegaskan isu Palestin bukan hanya menjejaskan Palestin dan negara-negara Arab.

"Keseluruhan institusi antarabangsa yang gagal dalam menangani situasi dan ini adalah hipokrit kerana jika dibandingkan dengan perang antara Rusia dan Ukraine anda boleh melihat barisan bersatu Eropah dan Amerika Syarikat.

"Tetapi dalam menangani isu bercakap tentang kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai (Gaza) dan (mereka) senyap yang tidak terhingga serta meninggalkan prinsip etika moral dan pada masa yang sama mencemari dan berdakwah tentang demokrasi dan hak asasi manusia," tegas Anwar lagi.