Mengambil peluang melawat tema itu hari ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, projek bernilai kira-kira RM90 juta yang tertangguh pembinaannya sejak tiga tahun lalu bakal dibuka pertengahan bulan depan.
Reezal Merican berkata, berorientasikan sentuhan Asia Barat dengan mempunyai 14 tarikan, taman tema air yang mampu memuatkan kira-kira 1,000 pengunjung pada satu-satu masa itu bakal menjadi daya tarikan terbaharu pengunjung khususnya di utara.
"Tentu sekali ia menarik minat bukan saja mereka yang tinggal di Pulau Pinang tapi juga yang tinggal di Kedah, Perak, Perlis... dan barang kali dari Perak tengah," katanya di sini, hari ini.
Reezal Merican yang juga calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Barisan Nasional (BN) Parlimen Kepala Batas, berkata projek tersebut sebelum ini tertangguh kerana beberapa masalah termasuk penularan COVID-19 pada penghujung 2019.
Menurutnya, projek berkenaan kini hampir 98 peratus siap.
Jelasnya, fasa pertama pembukaan pada pertengahan Disember ini hanya akan membabitkan taman tema air manakala hotel dibuka pada fasa seterusnya yang djangka awal tahun hadapan.
Jelas Reezal Merican, projek bertaraf lima bintang yang dibangunkan di atas tanah seluas lebih lapan hektar milik The Maritime Water Front Suites Sdn. Bhd itu menyediakan pelbagai kemudahan buat pengunjungnya.
Ia merangkumi pembinaan sebuah pusat konvensyen yang mampu memuatkan sehingga 2,000 orang selain kemudahan yang bercirikan mesra orang kurang upaya (OKU).
Malah kewujudan Bertam Resort & Water Park itu juga katanya, dijangka membuka peluang pekerjaan kepada kira-kira 300 penduduk setempat.