Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) hari ini memuji tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak menambah kerusi parlimen di Sarawak selepas mengutarakan cadangan persempadanan semula negeri itu.

“Bersih mengucapkan tahniah pada SPR kerana bertindak mengikut perlembagaan dengan mematuhi jumlah kerusi parlimen yang diperuntukkan di Sarawak sebagaimana terkandung dalam artikel 46 Perlembagaan Persekutuan.

“Jika kerusi Parlimen untuk Sarawak bertambah, (maka) proses persempadanan semula perlu dibuat semula,” kata kenyataan yang dibacakan jurucakap Bersih 2.0, Dr Wong Chin Huat.

Menurutnya, ini kali pertama sebuah penambahan kerusi menerusi persempadanan semula, melibatkan peringkat negeri dan bukan peringkat persekutuan.

“Ini menunjukkan bahawa SPR ada mendengar nasihat dari pertubuhan sivil untuk tidak menggunakan kuasa Parlimen dan perundangan negeri bagi menentukan saiznya,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Dr Wong mengingatkan SPR bahawa suruhanjaya tidak boleh sewenang-wenangnya membuat penambahan kerusi Parlimen tanpa penglibatan orang awam.

Katanya, jika SPR tetap menambah kerusi Parlimen pada masa hadapan, mereka perlu melaksanakan satu lagi proses persempadanan semula bagi kerusi-kerusi yang ditambah.

Dalam pada itu, Bersih turut mengkritik peta yang dikeluarkan SPR yang didakwa mereka tidak lengkap.

Kata Dr Wong, peta tersebut tidak memperincikan sempadan daerah mengundi yang akan menyebabkan pemilih tidak dapat menilai persempadanan semula itu, selain bertentangan dengan perlembagaan.

Mereka turut menyoal kenapa peta itu tidak dimuatnaik di dalam laman web atau atas talian untuk memudahkan orang ramai melihatnya.

“Kenapa SPR bertegas ingin melaksanakan kerja mereka tanpa kemudahan internet?” Kenapa SPR tidak lakukan apa yang dilakukan oleh Bersih dan Tindak Malaysia, iaitu dengan berkongsi maklumat atas talian?” soal beliau lagi.

Selain itu, Bersih juga menyokong tindakan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakelalan, Baru Bian (PKR) yang menggesa SPR mengemukakan peta terperinci DUN Sarawak dalam masa tujuh hari atau bersedia dengan semakan kehakiman.

Wong memberitahu, Bersih juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang sama sekiranya ia tidak diendahkan oleh SPR.

SPR pada Isnin telah mengumumkan cadangan 11 kerusi baru bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di bawah kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya, menjadikan 82 kerusi semuanya bagi negeri itu.

Sebelas kerusi berkenaan ialah Batu Kitang, Stakan, Serembu, Triboh, Gedong, Kanbong, Tellian, Selirik, Murum, Samalaju and Long Lama.

Selain mencadangkan 11 kerusi baru bagi DUN, proses persempadan semula ini membuat pindaan nama kepada satu kerusi parlimen dan empat kerusi DUN.