KUALA LUMPUR: Pertubuhan NGO Bersih akan mengadakan satu program yang menyaring para wakil rakyat berdasarkan pendirian mereka terhadap pelaksanaan Akta Antilompat Parti.

Kata pengerusinya Thomas Fann, Ahli Parlimen atau ADUN yang didapati menolak akta itu akan disenarai hitamkan dan rakyat akan digesa untuk menolak mereka dan parti yang mereka wakili.

Ini perlu dilakukan untuk memastikan para pemain politik mengambil serius tentang isu lompat parti, pada masa sama sebagai tindakan menggesa Parlimen untuk segera membentangkan rang undang-undang (RUU) akta ini supaya dapat dilaksanakan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

“Kita ada satu program yang kita akan laksanakan dalam satu atau dua minggu ini iaitu kita nak “name and shame.” Apa yang kita akan buat adalah satu laman web di mana nama mereka dan parti mereka ditunjuk sama ada mereka beri sokongan atau tidak kepada Akta Antilompat Parti.

“Kalau mereka sokong, mereka akan hantar surat atau e-mel kepada kita mengatakan mereka menyokong pemindaan Perlembagaan untuk mewujudkan akta tersebut, dan kita akan tunjukkan (dalam laman web).

“Yang tidak sokong, kita nak rakyat semua tahu siapa wakil rakyat yang tolak akta ini dan kita nak bukan sahaja malukan mereka tetapi kita akan gesa rakuat untuk tolak wakil rakyat ini dan parti mereka.”

Beliau pada masa sama menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan kerajaan yang menunda pembentangan RUU akta tersebut di Parlimen ke satu tempoh akan datang, selepas sebelum ini menyatakan bahawa ia akan dibawa ke sesi persidangan kali ini.

Tonton temu bual penuh bersama Thomas dalam program Agenda AWANI bersama hos Essan Yahya, di sini:

Bersih akan anjur program saringan tolak Ahli Parlimen yang tidak sokong Akta Antilompat Parti


Agenda AWANI: Bentang segera RUU Antilompat Parti