Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan menggunakan senjata renjat semasa Perhimpunan Bersih 4.0 yang dijadual berlangsung hujung minggu ini, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Jelasnya, penggunaan senjata renjat seperti yang dimaklumkan semalam adalah untuk perancangan PDRM pada masa hadapan.

"Bukan untuk ini (Bersih), sebab senjata renjat itu melumpuhkan sementara siapa yang ditembak.

"Ia terbukti melalui kajian saintifik dan praktikal dapat melemahkan sesiapa juga perusuh atau penjenayah. Di masa hadapan, kita akan lebih banyak menggunakan senjata jenis ini," katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur, hari ini.


BACA: Bersih 4.0 - Empat perkara anda perlu tahu

Noor Rashid menepis dakwaan laporan media pada Isnin yang memaklumkan, polis mungkin menggunakan senjata renjat terhadap peserta himpunan Bersih 4.0 jika berlaku insiden rusuhan atau keganasan.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati peserta himpunan bersih itu nanti supaya menjaga kesusilaan masing-masing.

"Kita minta masyarakat berkerjasama.

"Kita benarkan apa juga hak dia untuk espress freedom of movement, freedom of expression, kita benarkan tak ada masalah, tapi masyarakat juga punyai tanggungjawab sendiri untuk memastikan bahawa dalam usaha dia untuk express dia punya perasaan dan sebagainya, jangan ganggu orang lain.

"Kita akan facilitate. Tetapi kalau dia langgar undang-undang, kita terpaksa ambil tindakan tegas," ujarnya lagi.


Himpunan Bersih 4.0 dijangka akan berlangsung serentak di seluruh negara pada 29 dan 30 Ogos ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa pada Selasa berkata polis masih menyifatkan perhimpunan gergasi Bersih 4.0 sebagai 'tidak dibenarkan' atau haram kerana masih gagal mematuhi syarat Akta Perhimpunan Aman 2012.