ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 18 Jun 2024.


1. Malaysia bersedia sertai BRICS - PM Anwar

Malaysia akan memulakan prosedur rasmi untuk menyertai BRICS (blok ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) tidak lama lagi.



2. Program ekonomi lima tahun Malaysia-China dimeterai semasa lawatan Li Qiang - Tengku Zafrul

Program Lima Tahun untuk Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan antara China dan Malaysia dijangka ditandatangani tidak lama lagi semasa lawatan sulung Perdana Menteri China Li Qiang ke Malaysia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.


3. Dasar AP Terbuka mulai 1 Julai 2024, beri manfaat kepada lebih ramai usahawan bumiputera

Mana-mana syarikat bumiputera, termasuk yang tidak pernah terlibat dalam aktiviti automotif, boleh memohon untuk dilantik sebagai syarikat AP Terbuka bagi menceburi aktiviti pengimportan dan penjualan kenderaan di Malaysia, berkuat kuasa 1 Julai ini.


4. Agong dipersembah laporan terkini RCI pengendalian kes Batu Puteh, Batuan Tengah, Tubir Selatan

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dipersembahkan laporan terkini Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.


5. Malaysia-China akan meterai MoU dalam bidang perumahan, bandar pintar - Kor Ming

Malaysia dan China bakal memeterai memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang perumahan, perancangan bandar dan bandar pintar, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.


6. Wisma Putra komited kesan rakyat Malaysia 'hilang' di luar negara

Wisma Putra sentiasa komited membantu menjejaki rakyat Malaysia yang dilaporkan "hilang" di luar negara untuk dibawa pulang ke tanah air menerusi pelbagai kaedah dan saluran, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.


7. Malaysia sedia laksana rangkaian 5G kedua - Fahmi

Kerajaan Malaysia kekal komited untuk melaksanakan dasar model dwirangkaian 5G, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.


8. Hilang RM24.2 juta dalam akaun, lapan termasuk empat pegawai bank ditahan 

Seramai lapan individu termasuk empat pegawai bank diberkas polis selepas disyaki bersubahat dengan sindiket bagi mengeluarkan wang RM24.2 juta daripada beberapa akaun simpanan.


9. Himpunan #KamiMahuAir: Bersih seru kerajaan tegakkan keadilan untuk guru, pelajar yang ditahan

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyeru Kerajaan Perpaduan menegakkan hak asasi terhadap seorang guru dan lapan pelajar Sekolah Alternatif di Sabah yang dipercayai ditahan semasa himpunan #KamiMahuAir Jumaat lalu.


10. Perdana Menteri China Li Qiang tiba di Malaysia untuk lawatan rasmi tiga hari

Perdana Menteri China Li Qiang tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari yang juga kunjungan sulung beliau ke negara ini sejak menyandang jawatan itu pada Mac tahun lepas.