Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, Kerajaan kini sedang beralih kepada satu konsep baharu perbelanjaan bersih sesebuah isi rumah agar mereka menjalani kehidupan yang wajar.
"Kita tahu populasi atau pengukuran berdasarkan kepada pendapatan isi rumah semata, yang rakyat ingat M40, B40, itu sebenarnya banyak tercicir. Jadi tidak adil.
"Sebab itu sebahagian daripada pembagunan PADU dan dari segi pembentangan, kita ingin beralih kepada satu konsep yang dipanggil perbelanjaan bersih isi rumah yang mengambil kira perbelanjaan asas sesebuah isi rumah itu untuk menjalani kehidupan wajar.
"Secara konsepnya, yang itu telah dibentangkan secara mendalam di peringkat kerajaan. Now we are moving, perbincangan mengenai pelaksanaan itu sedang berlaku dan saya rasa adalah lebih baik kita tunggu reka bentuk terakhir mengenainya.
"Tetapi bila PM sebut T15, itu merujuk kepada kaedah-kaedah yang akan diumumkan nanti. If you ask me sekarang, T15, saya ingat Kerajaan perlu melalui proses itu dan kita mahu jadikan benda ini adil berbanding sebelum ini. Saya tidak rasa (kita gunakan) pendapatan isi rumah seperti sekarang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Statistik Negara (HSN) di Putrajaya pada Ahad.
Terdahulu, semasa pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beberapa subsidi akan dikurangkan bagi golongan T15.
Bagaimanapun timbul reaksi oleh ramai pihak mengenai pengkelasan golongan T15 berkenaan.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, semasa Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9) sebelum ini, kerajaan telah membuat keputusan bahawa penentuan ekonomi bagi pendapatan sesebuah isi rumah mengikut pendapatan mereka.
Disebabkan itu pada masa berkenaan, terdapatnya garis statistik membabitkan golongan seperti T20, B40 dan M40.