KUALA LUMPUR: Pengekalan atau penambahan subsidi harga barangan asas menjadi harapan utama orang ramai menjelang pembentangan Belanjawan 2024 esok.

Ahmad Rafiq, 26, tidak kisah sekiranya subsidi lain yang diberikan sebelum ini dikurangkan atau dimansuhkan pada Belanjawan 2024 sekiranya subsidi barangan asas dapat dikekalkan.

"Harapan saya harga (barang) makanan dapat dikurangkan, bagi semua orang mampu. Kalau harga kereta atau motor mahal, saya tak kisah," katanya yang bekerja sebagai jurujual.

Bagi kontraktor Busu Ghani, 61, kerajaan perlu memberi peruntukan lebih kepada sektor keterjaminan makanan berbanding sektor lain bagi meningakatkan kuasa beli isi rumah, terutamanya bagi golongan B40.

"Paling utama bagi saya sudah tentu berkenaan harga barangan asas khususnya beras. Saya rasa sekarang ini juga mula timbul soal harga ayam dan telur meningkat.

"Bagi saya ini perkara asas yang perlu diselesaikan terlebih dahulu di peringkat nasional, selepas itu barulah perkara lain," katanya.

Turut melontarkan pandangan yang sama ialah penjual penapis air, Muhammad Afdhal Mohd Affendi, 21.

"Harap kerajaan boleh kawal harga barangan. Tak semua orang mampu untuk beli barang dapur mahal-mahal sampai RM500, nak isi minyak lagi.

"Kadangkala ada orang yang terkesan sampai terpaksa buat tiga kerja sehari. Jadi saya rasa akan bertambah terbeban kalau harga barang masih mahal," katanya.

Dalam pada itu, pekerja swasta Roopashini Gunasekaran, 31, berharap kerajaan akan mengumumkan lebih banyak subsidi makanan kepada rakyat pada belanjawan kali ini, terutamanya bagi beras yang harganya meningkat secara mendadak ketika ini.

"Beras dan minyak amat penting. Kalau boleh lebihkan (subsidi)," katanya.

Sementara itu, pakar ekonomi Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai ketika mengulas tentang permasalahan itu mencadangkan agar pemberian subsidi difokuskan kepada barangan asas.

"Mungkin kita boleh cuba ubah konsep bersasar dengan (mengurangkan) subsidi petrol, diesel atau tenaga elektrik dan (menyasarkannya lebih kepada) makanan, untuk memastikan harga makanan paling rendah," katanya.

--BERNAMA