KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak untuk menjalin usaha sama yang erat dalam mempersiapkan sumber manusia bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara dan menghadapi tantangan masa hadapan.

Anwar dalam catatan di Facebook sempena sambutan Hari Pekerja hari ini berkata semua pihak mesti berusaha dan bekerja kuat demi memastikan Malaysia terus maju pada masa hadapan.

"Tanggal 1 Mei ialah hari bagi menghargai daya usaha, jerih perih dan komitmen tidak berbelah bahagi warga pekerja dalam menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran negara.

"Sememangnya pekerja merupakan tonggak terpenting yang menjayakan agenda pembangunan negara sekian lama," katanya.


Perdana Menteri berkata tema sambutan Hari Pekerja tahun ini, Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia MADANI, mencerminkan aspirasi yang mendukung prinsip kesejahteraan, keadilan, saling menghormati, ihsan serta jalinan kerjasama semua rakyat untuk berganding bahu membina Malaysia menjadi sebuah negara yang bertamadun.

"Selamat Hari Pekerja kepada semua pekerja di Malaysia," katanya.

-- BERNAMA