KUANTAN: Seorang bekas pembantu jualan di sebuah kedai pajak gadai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 65 pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan barang kemas dan jongkong emas bernilai lebih RM600,000.

Lee Pey Loo, 27, yang ketika itu pembantu jualan didakwa melakukan pecah amanah ke atas penguasaan harta barang kemas dan jongkong emas bernilai lebih RM600,000 yang diamanahkan terhadapnya di Kedai Pajak Gadai Cakna Nadi Sdn Bhd, Jalan Pasar di sini antara pukul 12.30 tengah hari hingga 2 petang, 6 Ogos lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 14 tahun serta sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ezuain Farhana Ahmad mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di balai polis Kuantan serta menyerah pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun peguam Mohd Shuhairil Ziqrul Sapi yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak bekerja dan perlu menyara ibu bapanya, selain ini merupakan kesalahan pertama dilakukan tertuduh.

Hakim Sazlina Safie membenarkan ikat jamin berjumlah RM71,500 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan memerintahkan tertuduh melaporkan diri setiap bulan di balai polis Kuantan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 2 Okt untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

-- BERNAMA