Akibat mencubit dan merotan belakang badan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun sehingga cedera, seorang bekas pekerja pusat jagaan rumah perlindungan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, pada Rabu.

Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu terhadap Nur Haliza Salleh, 22, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu, yang kini tidak bekerja, menjalani hukuman penjara empat bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Nur Haliza didakwa melakukan kesalahan itu terhadap mangsa di rumah perlindungan di Jalan Air Panas di sini, pada jam 5 petang, 13 Nov 2019 dan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh didakwa mencubit dan merotan mangsa menggunakan penyangkut baju plastik kerana mangsa didakwa berkelakuan nakal.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA