KUANTAN: Bekas Ketua Polis Daerah Temerloh didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan atas 46 pertuduhan menerima rasuah bernilai keseluruhan RM70,600 di antara 2019 dan 2022.

Tertuduh, Mohd Azhar Mohd Yusoff, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan termasuk 46 pertuduhan pilihan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut semua pertuduhan dan pertuduhan pilihan, antara 7 Mac 2019 hingga 22 September 2022, tertuduh didakwa menerima wang melalui transaksi dalam talian ke akaun miliknya yang diketahui mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh sebagai pegawai kanan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh.

Tertuduh didakwa menerima suapan di antara RM100 hingga RM5,600 dari empat pihak berbeza sebagai dorongan melindungi pihak terbabit supaya tidak dikenakan apa-apa tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas pelbagai kesalahan.

Bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, tertuduh jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Feisal Mohd Azmi, Rasyidah Murni Azmi dan Rifah Izzati Abdul Mutalif, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Bob S Arumugam.

Pihak pendakwaan memohon tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM40,000 bagi kesemua pertuduhan yang dilakukan.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh memohon agar jaminan ke atas tertuduh dikurangkan kepada RM20,000 mengambil kira latar belakang tertuduh yang telah berkhidmat selama 30 tahun dalam PDRM.

“Tertuduh merupakan seorang pegawai kanan polis dengan jawatan akhirnya adalah sebagai OCPD sebelum ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan.

“Tertuduh juga telah berkahwin dan isteri tertuduh kini berada dalam keadaan tidak sihat kerana menjalani pembedahan.

"Tertuduh juga telah berjanji untuk akur dengan segala arahan mahkamah selain tidak ada kemungkinan untuk tertuduh melarikan diri.

"Tertuduh juga berkemungkinan akan digantung tugas serta-merta dan akan berhadapan dengan kesukaran," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM25,000 bercagar dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga diarahkan untuk menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat bermula September sehingga perbicaraan kes selesai.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh supaya tidak mengacau ganggu saksi pendakwaan sehingga perbicaraan selesai.

Mahkamah menetapkan 15 November ini sebagai tarikh penyerahan dokumen dan sebutan semula kes.