MELAKA: Bekalan parasetamol di rangkaian farmasi komuniti di Melaka masih mencukupi walaupun terdapat jenama popular terputus bekalan akibat permintaan tinggi dalam kalangan pengguna ekoran peningkatan kes COVID-19 yang mendadak sejak kebelakangan ini.

Timbalan Pengerusi Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) Melaka Soh Lai Yoke berkata gangguan bekalan bagi jenama terkemuka dilaporkan berlaku sejak lebih seminggu lepas kerana bekalan yang diperoleh daripada pembekal dan pengeluar turut terjejas.

"Terdapat banyak jenama dan jenis parasetamol yang dijual di pasaran termasuk rangkaian farmasi komuniti dan berdasarkan maklumat yang saya peroleh setakat ini, jenama panadol jenis ActiFast, Soluble dan Extend terputus bekalan kerana permintaan tinggi tetapi jenis lain seperti Optizorb masih ada.

"Jenama popular mempunyai pelanggan tetap dan mereka lebih gemar memilih jenama itu kerana berpendapat serta percaya jenama berkenaan lebih mujarab berbanding yang lain khususnya jika mengalami demam akibat dijangkiti COVID-19," katanya kepada Bernama pada Khamis.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana mereka mempunyai pilihan lain dan dos serta keberkesanan parasetamol adalah sama, bezanya hanya dari segi pemasaran.

Soh berkata orang ramai juga diminta tidak membeli parasetamol melebihi keperluan bagi mengelak jenama lain turut mengalami gangguan bekalan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Melaka Norena Jaafar berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima aduan kekurangan bekalan parasetamol di negeri itu tetapi mengesahkan berlaku peningkatan pembelian.

"Berdasarkan pemantauan di lapangan, saya dimaklumkan pembelian parasetamol sejak kebelakangan ini agak meningkat berbanding sebelum ini dan setiap pelanggan membeli lebih daripada sepapan untuk dijadikan stok di rumah mereka.

"Bagaimanapun, bekalan tidak terputus secara total kerana gangguan hanya melibatkan beberapa jenama dan pemantauan akan terus dilakukan secara berkala," katanya.

Tinjauan di beberapa farmasi komuniti di Kota Laksamana mendapati beberapa jenis parasetamol bagi cap dagang terkemuka terputus bekalan dalam tempoh satu hingga tiga minggu lepas dan pihak farmasi masih menunggu stok baharu daripada pembekal.

Pada 18 Feb lepas, Bernama melaporkan bekalan parasetamol, ubat yang lazimnya digunakan bagi melegakan demam dan sakit kepala, mengalami kekurangan selain agak sukar didapati di farmasi komuniti dan kedai serbaneka di ibu negara serta beberapa tempat lain.

Presiden MPS Amrahi Buang pula berkata berdasarkan maklumat yang diterimanya, masalah kekurangan parasetamol terutama melibatkan cap dagang terkemuka tidak hanya berlaku di ibu negara malah di negeri lain sejak beberapa bulan lepas berikutan pembelian agak tinggi ketika musim pandemik COVID-19 selain mungkin membabitkan isu logistik di pihak pengilang dan pengedar ubat itu.

-- BERNAMA