Bekalan darah di Pusat Darah Negara dan tabung-tabung darah di seluruh negara berkurangan sebanyak 40 peratus sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu, situasi ini membimbangkan memandangkan lebih banyak perkhidmatan elektif di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah beroperasi termasuk pembedahan elektif.

Beliau memberitahu, penggunaan terhadap bekalan darah meningkat daripada purata 9,000 pek kepada 13,000 pek darah pada setiap minggu.

"Kutipan darah pada Mac 2018 hingga Mei 2018 adalah sebanyak 111,328 beg namun kutipan dari bulan Mac 2020 sehingga Mei 2020 hanyalah 67,135 beg sahaja," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya di sini, pada Rabu.



Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham menjelaskan meskipun pelbagai aktiviti promosi dijalankan oleh KKM dan rakan-rakan media namun pencapaian kutipan darah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hanya mencatatkan 57 peratus daripada jumlah sasaran.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, kadar penggunaan darah semasa tempoh Perintah PKP iaitu dari 18 Mac 2020 hingga 3 Mei 2020 juga didapati telah menurun.

"Ini mungkin disebabkan oleh kadar kemalangan jalan raya yang memerlukan rawatan di hospital telah berkurangan sebanyak 60 hingga 70 peratus sepanjang penguatkuasaan PKP," jelasnya.

Bagi memudahkan orang ramai untuk menderma darah pada bulan Ramadhan selepas waktu berbuka puasa katanya, operasi perkhidmatan Pusat Darah Negara dan Tabung Darah dilanjutkan sehingga pukul 9 malam.

"KKM menyeru orang ramai untuk menderma darah di Pusat Darah Negara dan Tabung-Tabung Darah seluruh negara bagi memastikan bekalan darah mencukupi," tambahnya.