Pengguna di kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mula mendapat bekalan air secara berperingkat sejak pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat, Kumpulan Pengurusan Air Selangor, Amin Lin Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata status pemulihan bekalan air adalah 97 peratus di Sepang dan 92 peratus di Kuala Langat.

"Bagi Hulu Langat pula, ia sudah 72 peratus pulih manakala untuk Petaling, ia mencapai 63 peratus," katanya.

Gangguan bekalan air itu berlaku ekoran penutupan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dari 22 hingga 24 September lepas akibat pencemaran sungai.

Beliau berkata pengguna boleh mendapatkan status terkini mengenai kerja pembaikan itu melalui aplikasi telefon bimbit 'mySYABAS' atau melayari www.syabas.com.my.