SIBU: Dakwaan beberapa pihak yang mengatakan tiada perancangan bekalan air jangka masa panjang bagi Sibu, adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali, kata Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi.


Ringkasan AI
  • Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi, menegaskan bahawa kerajaan negeri mempunyai rancangan bekalan air jangka panjang untuk Sibu, termasuk The Second Sibu Water Supply Master Plan Study 2013 dan Pelan Induk Bekalan Air Sarawak dan Grid Air 2021, yang merangkumi perancangan hingga tahun 2070.
  • Projek naik taraf Loji Salim untuk meningkatkan kapasitinya daripada 150 juta liter sehari (MLD) kepada 300 MLD telah dimulakan dengan pembiayaan penuh kerajaan Sarawak sebanyak RM291.4 juta dan dijangka siap pada tahun 2026 untuk memenuhi permintaan air di Sibu sehingga tahun 2036.
  • Projek "Non Revenue Water Reduction Works and Services for Sibu Water Board" telah bermula pada April lalu dengan matlamat mengurangkan NRW sebanyak 10-15 MLD agar penjimatan air ini dapat disalurkan kepada pengguna semasa menunggu siapnya projek naik taraf Loji Salim.


Beliau yang kesal dengan dakwaan pihak terbabit yang dilihat seolah-olah jahil terhadap rancangan pembangunan projek bekalan air yang dilaksanakan kementeriannya berkata, tanggapan itu akan membawa persepsi yang tidak baik kepada umum.

Beliau berkata kerajaan negeri mempunyai rancangan rapi untuk pembekalan air di Sibu iaitu The Second Sibu Water Supply Master Plan Study 2013 khusus bagi kawasan Sibu, dan Pelan Induk Bekalan Air Sarawak dan Grid Air 2021 bagi seluruh Sarawak termasuk Bahagian Sibu.

"Pelan Induk ini telah menggariskan pembangunan bekalan air di Sarawak untuk jangka masa sehingga tahun 2025, tahun 2040 dan tahun 2070 yang merangkumi tiga teras strategik iaitu permintaan air; rawatan dan pengagihan air; serta kualiti dan kecukupan air untuk kedua-dua air mentah dan air terawat," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Loji Salim di sini hari ini, beliau berkata pelan induk itu bertujuan membangunkan sistem grid air, merangkumi pembangunan sumber air mentah, perawatan dan pengagihan, yang akan menghubungkan semua loji utama merentasi seluruh Sarawak dan membentuk sistem grid air yang berterusan.

Julaihi berkata projek naik taraf loji Salim bagi meningkatkan kapasitinya daripada 150 juta liter sehari (MLD) kepada 300 MLD itu dilaksanakan oleh Lembaga Air Sibu dengan nilai skim projek yang diluluskan RM300 juta, dan kerja-kerja peringkat reka bentuk dibiayai melalui pinjaman kerajaan Persekutuan berjumlah RM8.6 juta.

Lembaga Air Sibu kini beroperasi pada kadar kapasiti kira-kira 195mld menerusi loji-loji rawatan air sedia ada iaitu loji Salim sebanyak 150 MLD dan Loji Bukit Lima 45 MLD.

Dengan itu Lembaga Air Sibu tiada lagi rizab margin lebihan bagi menampung keperluan tambahan permintaan semasa ataupun menampung peningkatan permintaan di masa hadapan.

Justeru Julaihi berkata amat penting projek naik taraf loji itu dimulakan dengan segera dan kelewatan pelaksanaannya akan menyebabkan berlakunya krisis air di Sibu terutama pada waktu puncak atau semasa musim kemarau.

"Oleh itu Kerajaan Sarawak telah membuat keputusan membiayai sendiri sepenuhnya kos pelaksanaan projek ini iaitu RM291.4 juta, yang turut melibatkan kos penyeliaan tapak dan kos ambil balik tanah," katanya dan menambah projek yang telah bermula pada 20 Mei lepas itu dijangka siap pada tahun 2026.

Dengan siapnya projek ini kelak, kapasiti Loji Rawatan Air Salim akan bertambah bagi memenuhi keperluan air yang semakin meningkat di Sibu sehingga tahun 2036.

Julaihi berkata loji itu juga merupakan salah satu daripada loji rawatan air utama di bawah Pelan Induk Bekalan Air Sarawak dan Grid Air bagi kawasan zon tengah Sarawak yang akan menampung keperluan air di Sibu dan kawasan luar bandarnya seperti Kanowit, Selangau, Maradong, Rassau, Machan dan Nibong Tada.

Sementara menunggu projek itu siap Julaihi berkata projek "Non Revenue Water Reduction Works and Services for Sibu Water Board" telah bermula April lepas bagi tempoh selama 24 bulan dengan matlamat mengurangkan air tak terhasil (NRW) sebanyak 10-15 MLD agar penjimatan ini dapat disalurkan kepada pengguna.

-- BERNAMA