Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sebagai salah satu agenda nasional, AIR 2040 bertujuan mentransformasikan sektor air negara menjadi mampan.
Menurutnya, pelan itu juga akan menjadi pemangkin pembangunan ekonomi, menjamin bekalan air berkualiti dan memajukan bidang sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE).
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menegaskan, peningkatan pelaburan dalam teknologi air, penyelidikan dan pembangunan kemahiran mampu menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dalam sektor tersebut.
“Langkah ini bukan sahaja bakal menarik pelaburan asing, malahan turut mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat Malaysia.
“AIR 2040 yang dilaksanakan dalam tempoh 20 tahun menerusi empat fasa di bawah Rancangan Malaysia ini bakal memacu keterjaminan dalam aspek kesejahteraan rakyat,” katanya.
Tambah beliau, AIR2040 akan menerapkan lapan pemacu perubahan untuk memperkasa lanskap sektor air negara iaitu pembiayaan alternatif, sektor ekonomi baharu dan adaptasi perubahan iklim.
Selain itu, ia juga dipacu oleh serta air maya dan jejak air, advokasi dan kesedaran awam, integrasi data, teknologi pintar dan Neksus Tenaga-Makanan-Air.
“Menjelang tahun 2040, air bakal menjadi aset ekonomi yang signifikan kerana potensinya untuk menjana pendapatan adalah besar meskipun buat masa ini pengurusannya belum memberikan pulangan ekonomi yang optimum.
“Sebagai perbandingan, sektor industri berintensifkan tenaga kini menyumbang kira-kira 28% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 25 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja negara.
“Manakala sumbangan sektor air adalah jauh lebih rendah dan masih tidak dapat dikira dengan tepat,” ujarnya.
Tambah beliau, dalam memastikan kejayaan AIR 2040, kerajaan akan mengukuhkan kawalan terhadap pencemaran dan keberkesanan pengurusan sumber air.
Tegasnya, kerjasama dan sokongan daripada semua pihak, termasuk sektor awam, swasta, komuniti, dan organisasi bukan kerajaan adalah amat penting bagi memastikan kejayaan pelaksanaan AIR 2040.
Kajian AIR 2040 selama 20 bulan yang ditugaskan pada Mei 2020 oleh Kementerian Ekonomi kepada Akademi Sains Malaysia (ASM) sebagai rakan strategiknya, mempunyai dua objektif kajian iaitu bagi memastikan keselamatan dan kemampanan air serta menjadikan air sebagai peluang ekonomi.