BUKIT MERTAJAM: Projek penggantian paip baharu berdiameter 1.2 meter berhampiran kampus Politeknik Seberang Perai di Permatang Pauh di sini, siap 90 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk K.Pathmanathan berkata kerja-kerja akhir projek penggantian melibatkan kos RM2 juta itu sedang giat dilakukan termasuk kerja kimpalan.

"Seperti dimaklumkan sebelum ini, satu insiden telah berlaku iaitu paip yang berada pada kedalaman 15 meter di bawah parit monsun berhampiran Politeknik Seberang Perai telah dirosakkan oleh kotraktor dari sebuah syarikat utiliti.

"Disebabkan paip ini berada di tengah jalan dan di atas jambatan serta telah merosakkan struktur laluan terbabit, maka kita ambil pendekatan dengan melencongkan paip itu bagi meminimumkan kerosakan," katanya kepada pemberita selepas meninjau kemajuan projek itu yang turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari.

Sehubungan dengan itu, Pathmanathan berkata kira-kira 118,000 akaun pengguna di kawasan Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) yang terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual selama 24 jam sejak 10 malam semalam susulan kerja penggantian paip itu akan menerima semula bekalan mengikut jadual ditetapkan.

Beliau yang memberi jaminan itu berkata bekalan air akan dipulihkan sebaik semua kerja berkaitan siap menjelang 10 malam ini atau lebih awal dan pihaknya memahami kesukaran dialami pengguna ketika ini serta berharap mereka dapat bersabar sementara PBAPP menyelesaikan kerja-kerja terbabit.

"Selepas kerja pemasangan siap, PBAPP perlu melaksanakan beberapa prosedur lagi seperti pembersihan menggunakan klorin dan pemeriksaan lain kerana tidak mahu kejadian sama berulang sebelum air dapat disalurkan semula kepada pengguna," katanya.

Sementara itu, Zairil berkata insiden yang berlaku adalah di luar jangkaan bagaimanapun tindakan segera telah diambil PBAPP untuk mengatasinya.

"Kerja-kerja yang dibuat tidak mudah kerana seperti dimaklumkan paip ini berada pada kedalaman 15 meter, namun setakat ini semuanya dalam kawalan.

"Meskipun pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memberi kelulusan hingga 10 malam ini, kita harap kerja-kerja ini dapat disiapkan lebih awal dan pengguna boleh dapat semula bekalan air," katanya.

PBAPP sebelum ini memaklumkan kira-kira 118,000 akaun pengguna di lebih 40 kawasan di SPT dan SPS akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 10 malam 4 Okt hingga 10 malam ini.

-- BERNAMA