KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menggantung sementara lesen syarikat pelancongan yang terlibat dalam insiden bas membawa pelancong China terbalik di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands pada Sabtu.


Ringkasan AI
  • MOTAC menggantung sementara lesen syarikat pelancongan yang terlibat dalam insiden bas terbalik di Jalan Genting Highlands, yang mengorbankan dua nyawa.
  • Siasatan menyeluruh sedang dijalankan, termasuk mesyuarat khas dengan Kementerian Pengangkutan dan JPJ pada 2 Julai, untuk menentukan langkah seterusnya.
  • Pemandu bas telah ditahan reman, dan syarikat pelancongan mungkin kehilangan lesen jika didapati bersalah, dengan penekanan pada keselamatan pelancong dan pematuhan SOP.


Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, lesen operasi tersebut digantung sementara sehingga siasatan menyeluruh kejadian yang mengorbankan dua nyawa itu selesai.

Menurutnya, satu mesyuarat khas membabitkan kementeriannya bersama Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diadakan pada 2 Julai ini bagi tujuan tersebut.

"Saya telah meminta siasatan sepenuhnya dijalankan dari segi syarikat pelancongan yang difahamkan melantik pihak ketiga.

"Saya juga menerima aduan daripada pelancong mengenai bas disediakan tidak sesuai digunakan apabila bas ditukar sebanyak tiga kali sepanjang enam hari lima malam bercuti.

"Ini membuktikan bas tidak diselenggara dengan baik, menghadapi masalah tiada pendingin hawa dan berbunyi," katanya selepas melawat lapan mangsa yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada Ahad.

Kesemua mangsa yang menerima rawatan berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani pemeriksaan lanjut sehingga dibenarkan keluar.

Turut hadir, Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Katanya, pihaknya memohon maaf susulan insiden tersebut dan tidak teragak-agak untuk menarik lesen syarikat pelancongan itu jika didapati bersalah.

Ujarnya, setakat ini pemandu bas berkenaan telah ditahan reman bagi membantu siasatan.

"Keselamatan pelancong adalah keutamaan kami disebabkan itu kementerian sering mengingatkan syarikat pelancongan memberikan kerjasama melakukan langkah perlu bagi tujuan itu.

"Jangan ambil mudah nyawa pelancong semata-mata untuk mendapat untung dalam bisnes," katanya.

Pada masa sama katanya, JPJ digesa kuat kuasa pemantauan ketat terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perkhidmatan bas pelancongan bagi mengelak insiden sama berulang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar memaklumkan, pemandu bas berusia 32 tahun ditahan reman selama empat hari bermula Ahad bagi membantu siasatan.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan bas membawa 21 penumpang terdiri 18 pelancong China serta tiga warga tempatan termasuk pemandu bas, pembantu dan pemandu pelancong terbalik.

Bas terbabit terbabas melanggar tembok tengah pembahagi jalan sebelum terbalik.

Akibat kejadian, dua penumpang warga China, Wang Shuhong, 49, dan Zhang Ping, 58 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala 13 yang lain mengalami cedera.

Lapan mangsa menerima rawatan di HKL dan baki menerima rawatan di Hospital Bentong. - Sinar Harian