Dua lelaki bertopeng mengambil masa kurang dari tiga minit untuk merompak tujuh dulang barang kemas bernilai 130,000 ringgit di sebuah kedai emas di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada tengah hari tadi, dua perompak tersebut melepaskan sedas tembakan selepas menyedari pemilik kedai menekan alat penggera keselamatan.

Pemilik kedai emas yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, berkata perompak terbabit memecahkan cermin rak pameran menggunakan tukul besi sebelum mengaut cincin, loket serta rantai ke dalam beg galas.

Tan berkata ketika kejadian dia dan anak perempuannya berada dalam sebuah bilik di kedai tersebut sebelum mendengar cermin diketuk.

"Bila dengar cermin diketuk saya terus keluar dan terkejut melihat apa yang berlaku.

"Saya masuk kembali dan mengarahkan anak saya menekan penggera.

"Perompak itu marah bila alarm dibunyikan lalu dia tembak satu das sebelum lari menggunakan kereta yang diletak di hadapan kedai saya," kata Tan.


Sementara itu, saksi kejadian, Najihah Hamdi berkata, suspek yang menggunakan Proton Wira memberhentikan kenderaan itu di hadapan kedai emas sebelum meluru masuk ke dalam premis.

"Dekat pukul 12 tengah hari, saya dengar bunyi tembakan pistol kemudian bila saya tengok nampak mereka (dua lelaki bertopeng) lari masuk dalam kereta," ujarnya.

Seorang lagi saksi yang dikenali sebagai Ah Chun melihat kereta yang dipandu dua perompak tersebut menuju ke arah Kodiang.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Kes disiasat dibawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.