Tradisi memasang pelita sempena Hari Raya bukan sahaja menambahkan lagi seri kemeriahan sambutan Aidilfitri.

Aktiviti terbabit turut sama dapat menonjolkan semangat golongan muda menghidupkan amalan tradisi warisan berzaman tersebut.

Sekumpulan anak muda di Kampung Sungai Petani, Changlun, Kedah berganding bahu, memasang lebih 500 pelita sepanjang dua kilometer sepanjang jalan utama kampung itu.

Menurut pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun, Nik Mohd Faiz Nik Mohd Khairul Nizam, usaha tersebut dimulakan sejak pertengahan Ramadan lalu.

“Dari awal lagi kami berpakat untuk mencari buluh dan sebagainya. Kami dibahagikan dalam tiga kumpulan.

“Masing-masing ditugaskan untuk mencari buluh, kutip sumbangan dari rumah ke rumah dan proses pengawasan pelita sepanjang malam yang sudah bermula sejak 25 Mei lalu,” jelasnya.




Tahun ini merupakan tahun kedua mereka melakukan aktiviti memasang pelita di sepanjang jalan kampung.

Pembahagian tugas merangkumi mencari buluh untuk dijadikan tiang pelita hingga mengutip wang dari rumah ke rumah penduduk bagi menampung kos membeli minyak dan beberapa peralatan lain.

Bagi Suriati Ahmad, 40 tahun, beliau menzahirkan rasa bangga terhadap semangat anak muda kampung terbabit yang tetap cekal mempertahankan tradisi memasang pelita walaupun di era kecanggihan teknologi masa kini.

Menariknya, pemasangan pelita di kampung mereka juga turut menjadi perhatian orang luar yang mahu melihat sendiri keunikan dan tradisi yang dikekalkan penduduk di situ sempena kedatangan bulan Syawal.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sungai Petani, Noor Mohamad Darus menjelaskan pihaknya sentiasa menyokong usaha dilakukan anak muda kampungnya untuk menghiasi jalan kampung tersebut.

Asalnya, ujar beliau, usaha tersebut dilakukan secara suka-suka, namun, kini mula memasang hasrat untuk memecahkan mana mana rekod berkenaan proses pemasangan pelita.

Untuk tahun ini, anak-anak muda kampung tersebut menempah lebih 150 unit pelita berbanding hanya 350 unit, tahun sebelumnya.

Selain usaha menghidupkan tradisi turun temurun masyarakat terdahulu, penyalaan pelita ini turut menonjolkan kerjasama antara penduduk.