JOHOR BAHRU: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota Syed Hussien Syed Abdullah kehilangan bapanya Syed Abdullah Syed Abdul Hamid yang meninggal dunia hari ini.

Perkara itu dikongsikan menerusi hantaran di laman Facebook UMNO Johor Official, malam ini.

"Dukacita dimaklumkan ayahanda kepada Syed Hussien telah diberitakan pergi meninggalkan kita semua. Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada ayahanda beliau. Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

"Salam takziah buat saudara Syed Hussien sekeluarga, semoga tabah dan cekal menghadapi dugaan Allah SWT," menurut hantaran itu.

Pada Ahad lepas, media melaporkan Syed Abdullah, 67, menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Syed Hussien, 40, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang diumumkan sebagai calon BN bagi PRK DUN Mahkota yang diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi pilihan raya itu pada 28 Sept manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 Sept.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Syed Abdullah serta menitipkan pesanan kepada Syed Hussain sekeluarga untuk tabah dan cekal menghadapi ujian itu.

"Marilah bersama kita berdoa semoga Allahyarham Syed Abdullah bin Syed Abdul Hamid tergolong dalam kalangan insan soleh dan beroleh jannah. Al-Fatihah," katanya di laman X hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said turut mengucapkan takziah serta mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang beriman dan beramal soleh.

"Juga ucapan takziah buat seluruh anggota keluarga dengan iringan doa agar diberikan ketabahan dan kekuatan di atas kehilangan ini. Sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham," katanya yang juga Ketua Penerangan UMNO.

-- BERNAMA