ALOR GAJAH: Dua beranak maut selepas kediaman mereka hangus dijilat api dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Kampung Cherana Puteh, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Allahudin Abdul Hamid, 51 tahun, dan anak lelakinya Muhamad Badrol, 5 tahun.

Komander Operasi dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan II Ramli Yusof berkata, mayat kedua-dua mangsa itu masing-masing ditemukan di bilik air dan bilik tidur rumah berkenaan.

“Pihak bomba menerima laporan kebakaran pada jam 1.56 pagi sebelum sebuah jentera bersama sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Pasukan bomba kemudian berjaya menemukan dua mangsa dalam keadaan rentung iaitu seorang lelaki di dalam bilik air dan anak lelakinya berusia lima tahun di dalam bilik tidur rumah setingkat itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal berkeluasan 20 x 50 kaki persegi yang sudah 70 peratus terbakar.

Tambah beliau, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.