Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Khairul Ariffin Che Ramli berkata, operasi pemadaman yang dijangka mengambil masa agak panjang itu berikutan barangan mudah terbakar dipercayai antaranya getah dan polivinil klorida (PVC) menyebabkan api merebak cepat.
Katanya, pihak bomba menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 6.02 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan timbunan barangan kitar semula seluas 0.6 hektar dengan ketinggian tiga hingga empat meter.
“Kami menghadapi kesukaran kerana ada barangan dipercayai mudah terbakar seperti getah dan PVC selain tekanan air rendah,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Menurut beliau, pihak bomba turut mendapat bantuan air dari lori tangki Air Kelantan Sdn Bhd.
Khairul Ariffin memberitahu, seramai 40 anggota dan pegawai bomba terlibat dalam operasi pemadaman membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, Kota Bharu dan Pasir Tumbuh.
“Pihak bomba menjalankan operasi dengan lima jentera dan tiga lori tangki.
“Setakat ini, operasi masih berjalan dan dijangka berterusan hingga awal pagi esok,” katanya.
Tambah beliau, kejadian tidak melibatkan kemalangan jiwa sementara punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Kebakaran dipercayai bermula kira-kira jam 5.30 petang itu dapat dikawal daripada merebak ke bahagian pusat servis kenderaan dan kilang perabot yang terletak bersebelahan.
Sehingga jam 11.30 malam tadi, operasi pemadaman oleh bomba sudah berjalan selama lebih lima jam.
Lokasi kebakaran berada berdekatan dengan penempatan penduduk dan tempat pengumpulan itu dipercayai baru enam bulan beroperasi di kawasan terbabit. - Sinar Harian