KUALA LUMPUR: Kecewa, malu malah berasa jijik!
Melihat kepada baju dan pakaian dalam yang koyak, kain lusuh dan buruk, kain perca, seluar dalam dengan tompokan darah serta stokin busuk, sudah tentu sumbangan itu bukan yang diharap mangsa bencana banjir yang melanda sekitar Lembah Klang termasuk Kuala Lumpur dan Selangor baru-baru ini.
Namun itulah realiti antara sumbangan yang dikatakan pakaian terpakai, bak peribahasa 'indah khabar daripada rupa'!
Mangsa banjir, ada yang tinggal sehelai sepinggang, pastinya akan dirundung kesedihan apabila bungkusan yang diterima bagaikan 'buangan sampah', banyaknya sumbangan yang memenuhi ruang pusat pemindahan sementara, sehingga melempah hingga ke bahu jalan.
Perkara ini dikongsi Pengerusi Persatuan Prihatin Pandan, Aini Ahmed, yang berkata, selaku pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif mengumpulkan bantuan buat mangsa banjir, pihaknya mengakui terdapat lambakan 'sampah' melibatkan sumbangan pakaian terpakai diterima di pusat operasi mereka di Pandan Indah, Kuala Lumpur.
"Boleh saya katakan, dalam 1,000kg (kilogram) pakaian yang diterima, hampir atau mungkin lebih 30 peratus iaitu kira-kira 300kg daripadanya adalah pakaian rosak, terlalu buruk malah berbau busuk, lebih layak dibuang sahaja.
"Ia amat mengecewakan kerana pada saat yang mendesak untuk bantuan disalurkan segera, sukarelawan, kami terpaksa menghabiskan masa bagi mengasingkan terlebih dahulu pakaian yang betul-betul sesuai untuk diedarkan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Asing sebelum diagihkan
Menurut Aini, pengasingan perlu dilakukan untuk memastikan mangsa menerima pakaian yang benar-benar boleh dipakai.
"Biarpun kami menggunakan tenaga yang banyak untuk proses pengasingan ini termasuk mengikut saiz dan jenis, namun ia jelas membantu serta memudahkan urusan pengedaran bantuan kepada mangsa banjir.
"Melihat mereka tersenyum dan mengucapkan terima kasih, sudah memadai buat kami," kata Aini yang menambah, kebanyakan sukarelawan NGO yang dinaunginya terdiri daripada kaum hawa.
Menurut beliau, bagi ratusan kilogram pakaian yang tidak sesuai untuk didermakan, ia tidak dibuang begitu sahaja kerana pihaknya berpegang kepada prinsip untuk mengelakkan pembaziran serta menjaga alam sekitar.
Kesemua pakaian berkenaan diserahkan NGO alam sekitar yang menjalankan aktiviti kitar semula.
Persatuan Prihatin Pandan yang ditubuhkan pada November 2013 , setakat ini telah menghulur bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir di Lembah Klang, Mentakab dan Temerloh (Pahang) serta Negeri Sembilan.
Bukan 'tong sampah'
Pengurus Operasi Pengurusan Kecemasan Bencana Selangor, Shehdi Hazrik Shamsudin menyifatkan, pakaian terpakai adalah sumbangan paling banyak diterima di Selangor, sehingga akhirnya menimbulkan masalah lain.
"Kita bersyukur, berterima kasih atas keprihatinan masyarakat, namun ia bukan lagi bantuan apabila ada sesetengah pihak menjadikan misi ini sebagai 'tong sampah' untuk membersihkan kediaman daripada pakaian terpakai yang terlalu buruk atau sudah reput.
"Sumbangan ini akhirnya menjadi sampah tambahan di kawasan yang sudah pun dipenuhi sisa banjir," katanya.
Mengenai isu yang sama, Pengarah Bahagian Perancangan Strategik Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Hazahar Hashim berkata, pihaknya sedia membantu menyesaikan isu lambakan pakaian terpakai itu.
Beliau yang juga Ketua Operasi Pasca Banjir SWCorp Selangor berkata, isu berkenaan adalah satu isu yang sensitif kerana pihaknya tidak boleh sewenang-wenangnya 'mengusik' lambakan pakaian berkenaan kerana ia adalah sumbangan orang ramai.
"Kita ni (SWCorp) memang orang kenal sebagai pengurus sisa, jadi apabila kita nak ambil longgokan pakaian terpakai ini, nanti mereka ingat kita nak buang pula sumbangan terbabit namun sekiranya diarahkan PBT (pihak berkuasa tempatan) mahupun dimohon kerajaan negeri, kita akan uruskannya.
"Kami melihat isu ini (lambakan pakaian) boleh dimanfaatkan menerusi aktiviti 'upcycling' yang banyak dilakukan rakan strategik SWCorp," katanya.
Tiada penyelarasan
Menurut Hazahar, hasil pemerhatian, pihaknya mendapati, punca lambakan sumbangan pakaian terpakai adalah akibat tiada penyelarasan serta pengurusan strategik bagi tujuan berkenaan.
"Di sesetengah tempat, longgokan pakaian diletakkan di kawasan tidak sesuai serta tidak strategik seperti di bawah kanopi dan perhentian bas. Lama-kelamaan pakaian itu rosak akibat terkena air hujan dan cuaca panas.
"Bantuan juga tidak dihulurkan secara terus kepada penerima. Ada NGO yang sekadar melonggokkan sumbangan di satu tempat dan membiarkan mangsa banjir mengambil sendiri tanpa panduan dan bantuan," tambahnya.
Menurut Hazahar, SWCorp bersedia menawarkan diri menjadi agensi penyelarasan bantuan pakaian kepada golongan memerlukan sekiranya perkara sama berulang lagi pada masa hadapan.
"Bukanlah kita minta banjir ni jadi lagi, namun sekiranya terjadi apa-apa bencana dan antara bantuan yang ingin dikumpulkan itu ialah pakaian, SWCorp sedia menjadi penyelarasnya.
"Kami pada asasnya memang sudah memiliki kiosk dan pusat pengumpulan pakaian terpakai di negeri-negeri selenggaraan SWCorp di bawah Perjanjian Pengurusan Sistem Pepejal dan Pembersihan Awam Akta 672 selain mempunyai akses kepada NGO dan rakan strategik berkaitan," katanya.
Beri yang terbaik
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, apa sahaja jenis bantuan adalah berkait dengan amalan sedekah, justeru agama Islam menyarankan umatnya memberikan yang terbaik dalam setiap urusan berkenaan.
"Bantuan yang terbaik itu pastinya yang pertama, berupaya menggembirakan atau membantu mengurangkan sedikit kesedihan serta kerugian mangsa. Kedua, si penerima akan mendoakan yang terbaik buat pemberi dan ketiga, ia menjadi wadah mengeratkan silaturahim.
"Ketika memberi, sebaiknya anggaplah diri kita sendiri berada pada situasi penerimanya. Jika kita berasa seronok, pasti pihak di sana (penerima) juga akan turut berasa gembira," katanya.
Mohd Ajib turut menasihati orang ramai supaya lebih peka dalam memberi sumbangan barangan peribadi seperti pakaian dalam dengan mengelakkan memberi yang sudah dipakai, sebaliknya santuni mangsa dengan pemberian pakaian dalam baharu. - BERNAMA
Bernama
Mon Jan 31 2022
Jangan jadikan misi bantuan banjir sebagai 'tong sampah' untuk bersihkan kediaman daripada pakaian terpakai, buruk atau sudah reput. - Gambar hiasan BERNAMA
Pengumuman pencalonan Oscars ditunda ke 19 Jan akibat kebakaran di Los Angeles
Akademi turut memanjangkan tempoh pengundian untuk memilih pencalonan selama dua hari sehingga 14 Jan.
Peniaga kelapa warga Bangladesh didakwa beri suapan kepada pegawai polis
Peniaga kelapa warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan memberi suapan wang tunai berjumlah RM3,900 kepada seorang pegawai polis pada 1 Januari lalu.
TPM saran perbanyak inisiatif berimpak tinggi
Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) perlu memperbanyak inisiatif berimpak tinggi, maju dan melangkah ke hadapan.
TPM arah KEMAS kemuka cadangan tambah baik skim perjawatan
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) diarahkan mengemukakan cadangan bagi skim perjawatan baharu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menyelesaikan isu perjawatan sejumlah 9,719 kakitangan yang msiah berstatus kontrak.
Minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan tidak akan didedahkan
Zaliha berkata, perkara itu adalah sulit dan merupakan hak Lembaga Pengampunan.
TMM2026: Pemain industri pelancongan digesa tingkatkan perkhidmatan - Tiong
Pemain industri pelancongan digesa supaya bersiap sedia dan meningkatkan perkhidmatan mereka selari dengan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Bekas petugas ASNB cawangan Sibu didakwa pecah amanah lebih RM263,000
Seorang bekas petugas Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) Cawangan Sibu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM263,296.12.
Rafizi jangka cip, GPU buatan Malaysia dapat direalisasikan dalam tempoh lima sehingga 10 tahun
Malaysia dijangka dapat membangunkan cip dan unit pemprosesan grafik (GPU) 'Buatan Malaysia' dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang.
TPM arah KEMAS kemuka cadangan tambah baik skim perjawatan kepada JPA
KEMAS diarah untuk mengemukakan cadangan penambahbaikan skim perjawatan kakitangan KEMAS kepada JPA sebagai penyelesian kepada 9,719 kakitangan KEMAS yang masih berstatus kontrak.
Rumah Paris Hilton di Malibu musnah dalam kebakaran di Los Angeles
Rumah selebriti terkenal Amerika Syarikat yang juga hos TV, pelakon dan model, Paris Hilton, di Malibu musnah sepenuhnya akibat kebakaran di Daerah Los Angeles, California, lapor TASS media.
'Bantuan sampah' cemari usaha murni rakyat santuni mangsa banjir
Jangan jadikan misi bantuan banjir sebagai 'tong sampah' untuk bersihkan kediaman daripada pakaian terpakai, buruk atau sudah reput.