Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata harga pakej pelancongan yang ditawarkan oleh agensi haruslah seiring dengan kualiti pengalaman yang diberikan kepada pelancong.
"Jangan sewenangnya menaikkan harga. Kekalkan harga, jika boleh. Jangan biarkan pelancong berasa tertipu. Jika anda mengendalikan hotel bertaraf tiga bintang, promosikan dengan sewajarnya dan sesuaikan harga dengan perkhidmatan yang diberikan," katanya pada sesi libat urus bersama pemain industri pelancongan di wilayah tengah, di sini, hari ini.
Sesi tersebut dihadiri oleh pemain industri terkemuka, persatuan, syarikat penerbangan, pengusaha hotel, agensi pelancongan, dan pemilik produk.
Dalam satu kenyataan hari ini, Tourism Malaysia memaklumkna bahawa sesi libat urus pertama pada tahun 2025 bertujuan memberikan gambaran menyeluruh mengenai Kempen VM2026 dan pelan strategiknya serta kemas kini mengenai insentif bersama geran yang ditawarkan oleh MOTAC, seperti Geran Promosi Pelancongan (GAMELAN), Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP), dan Geran Penerbangan Antarabangsa dan Charter (GSPC).
"Susulan itu, sesi padanan perniagaan telah diadakan bagi memastikan program yang berimpak tinggi serta kadar penukaran yang lebih cepat dalam mencapai objektif bersama menarik 35.6 juta pelancong dan menjana pendapatan RM147.1 bilion untuk VM2026.
"Peta hala tuju VM2026 dibina berdasarkan tiga strategi utama - mencipta permintaan, meningkatkan trafik, dan mengutamakan pasaran sasaran. Inisiatif utama termasuklah penjenamaan dan pemasaran secara besar-besaran, perkongsian strategik untuk promosi bersama dengan kempen taktikal serta pembahagian pasaran," menurut kenyataan itu.
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Timbalan Menteri MOTAC Khairul Firdaus Akbar Khan, Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Roslan Abdul Rahman, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk P. Manoharan, Ahli Lembaga Pengarah Tourism Malaysia dan pegawai kanan MOTAC serta Tourism Malaysia.
Pada majlis itu, Tiong turut menyaksikan pertukaran Sijil Kerjasama VM2026 antara Tourism Malaysia dan 39 rakan strategik - terdiri daripada persatuan pelancongan, perkhidmatan pengangkutan, dan media domestik - sebagai bukti sinergi berharga antara sektor awam dan swasta.
Menteri tersebut berkata dengan bekerjasama dalam inisiatif dan aktiviti bersama, MOTAC berhasrat untuk mempromosikan lebih lanjut pelbagai tawaran pelancongan Malaysia dan meletakkan negara ini sebagai destinasi pelancongan utama.
"Melalui perkongsian tidak eksklusif ini, kami berharap dapat memanfaatkan kepakaran mereka untuk menyokong aspirasi Melawat Malaysia 2026," kata Tiong.
Sementara itu, antara rakan media domestik termasuk Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama), Astro Malaysia Holdings Berhad, Star Media Group Berhad, Media Prima Omnia, dan Rangkaian Televisyen Malaysia (RTM).
Malaysia menerima kedatangan 22.5 juta pelancong dari Januari hingga November 2024, menunjukkan peningkatan sebanyak 26 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.
Sepuluh pasaran pelancongan utama yang menyumbang kepada kedatangan pelancong ke Malaysia adalah dari Singapura, Indonesia, China, Thailand, India, Brunei, Korea Selatan, Filipina, Australia, dan Taiwan.
-- BERNAMA