Beliau memberitahu, cadangan itu termasuk penstrukturan semula gaji, pergerakan gred kakitangan dan memendekkan tempoh perjawatan bagi kakitangan berstatus kontrak.
"Kerajaan amat menghargai usaha gigih seluruh pegawai dan kakitangan KEMAS di seluruh negara, justeru saya secara peribadi akan membantu KEMAS bagi merealisasikan cadangan itu.
"Apa yang dikatakan Ketua Pengarah KEMAS (Datuk Mohd Hanafiah Man), menjadi tanggungjawab beliau untuk memperjuangkan nasib seluruh warga KEMAS.
"Insya-Allah, saya dan Ketua Setiausaha akan bantu. Jangan tunggu tahun depan, harus dibuktikan tahun ini juga.
"Kita mahu memastikan KEMAS terus cemerlang dalam mendidik amanah generasi akan datang," katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pemerkasaan Masyarakat Madani 2025 di sini, pada Khamis.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis sama, Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man berjata, terdapat 9,719 kakitangan KEMAS berstatus kontrak.
"Seramai 1,072 orang berada dalam Gred S1 atau S19 sebelum ini, 191 Gred S2 atau S22 dan 8,458 orang berada dalam Gred S5 atau S29.
"Sementara kakitangan yang telah memasuki perkhidmatan tetap setelah melalui tempoh kontrak sekurang-kurangnya 15 tahun pula adalah seramai 4,587 orang," ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Zahid turut mengemukakan lima cadangan kepada KEMAS bagi memastikan jabatan itu dapat terus memberikan perkhidmatan berkesan kepada rakyat.
Lima cadangan itu adalah seperti di bawah:
1. Pelan Transformasi Digital
KEMAS perlu memperkenalkan Bootcamp Literasi Digital melalui kerjasama dengan syarikat teknologi untuk melengkapkan belia luar bandar dengan kemahiran seperti coding, pemasaran digital dan keselamatan siber, sekali gus mengurangkan jurang digital dan memupuk nilai keusahawanan.
2. Pendidikan dan Latihan Kemahiran (TVET)
Perlu diperluaskan untuk meningkatkan kemahiran belia, khususnya bagi memenuhi keperluan industri. Sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, Ahmad Zahid tekad melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan, dan yakin dengan TVET KEMAS 2.0 mampu memangkin agenda TVET negara.
3. Memperkasa Ekonomi dan Keusahawanan warga desa
Ia perlu dilakukan dengan memanfaatkan program seperti Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) dan Program Peningkatan Pendapatan (PPP). Ia boleh ditambah lagi dengan bimbingan dan kerjasama bersama syarikat tempatan bagi membantu penduduk setempat memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.
4. Tadbir Urus jentera KEMAS
Tumpuan terhadap Tadbir Urus jentera KEMAS perlu diperkukuhkan agar lebih cekap dan mampan termasuk penambahbaikan skim penjawatan.
5. Tabika Berkeperluan Khas atau TABIKA Autisme
KEMAS dalam proses pelaksanaan Tabika Berkeperluan Khas atau TABIKA Autisme yang akan mula di beroperasi di Melaka, ia perlu diperluas ke seluruh negara.