IPOH: Ibu Pejabat Polis Daerah dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kerian menyediakan dua lori bagi mengangkut 46 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Pongsu, Bagan Serai pergi dan pulang dari sekolah berikutan penutupan laluan di KM15 Jalan Selama-Bagan Serai akibat banjir.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Juna Yusoff berkata kesemua pelajar terlibat menaiki lori itu dari Masjid Changkat Lobak untuk ke sekolah berkenaan.

"Kita tidak mahu mereka (pelajar) jadikan penutupan jalan sebagai penghalang untuk tidak hadir ke sekolah dan ini bersesuaian dengan moto Polis Diraja Malaysia iaitu Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata usaha memberi khidmat kepada pelajar terlibat akan diteruskan sehingga laluan berkenaan pulih daripada banjir dan dibuka semula kepada pengguna jalan raya.

-- BERNAMA